Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak sanggup berbohong pada rakyat, kata Adun Rembia

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis mendakwa dia tidak sehaluan dengan kerajaan negeri Melaka kerana tidak sanggup berbohong kepada rakyat.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh telah memungkiri janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat melalui manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

"Bagaimana saya nak sehaluan dengan kerajaan sedangkan manifesto PRN Melaka 2021 dimungkiri?

"Saya tak sanggup berbohong dengan apa yang manifesto BN telah janjikan kepada rakyat Melaka kerana rakyat mengundi berpandukan dengan janji-janji yang kami telah nyatakan dalam manifesto PRN 2021.

"Khusus juga orang Melayu memberi undi kepada kami atas dasar tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) ketika itu.

"Saya dan rakan-rakan dijanjikan juga apa pun berlaku Umno BN stand alone (berdiri sendiri). Jadi pembangkang yang bermaruah. No anwar no DAP," katanya.

Terdahulu Ab Rauf mengakui kerajaan menggantung peruntukan terhadap Muhammad Jailani selepas dia tidak lagi sehaluan dengan kerajaan.

Katanya perkara itu termaktub dalam akujanji sebagai wakil rakyat kerajaan dan amaran terlebih dulu telah diberikan kepadanya.

"Kalau bersikap tak nampak sehaluan dengan parti...parti berhak jalankan tugas sebagai pentadbir dengan berikan amaran dan tidak beri kemudahan kepada wakil rakyat berlandaskan akujanji. (Ia) Seolah-olah bercerai tidak bersaksi, bercerai tidak bertalak.

"Apabila tak gambarkan (sikap) wakil rakyat kerajaan dan bersikap wakil rakyat pembangkang. (Jailani kata) Gantung tak bertali saya tak boleh terima. Kita ada akujanji," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai ganti rugi yang akan dituntut oleh Umno, Muhammad Jailani berkata dia akan mengulas bila tiba masanya.

Jelasnya, kerajaan sekarang bertindak atas kemahuan PH yang mana mereka sendiri memungkiri janji-janji menifesto mereka.

"Lantaran janji-janji dimungkiri apakah kehidupan rakyat bertambah baik? Kita semua tahu jawapannya. Tak usahlah kita membohongi diri kita sendiri," katanya lagi.

Pada 16 Julai lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani menyertai parti itu.

Takiyuddin berkata penyertaan Muhammad Jailani ke dalam PAS tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit.

Hal itu kerana, kata Takiyuddin, Dewan Undangan Negeri Melaka belum lagi menguatkuasakan undang-undang antilompat parti semasa Jailani menyertai PAS.

Untuk rekod sebelum ini Umno menggantung keahlian Jailani.