Semua pelajar Malaysia di Dhaka selamat
Semua pelajar Malaysia di Dhaka, Bangladesh berada dalam keadaan selamat setakat pukul 4 petang Jumaat menurut laporan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, kata Kementerian Luar.
Kementerian itu berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat Jumaat terdapat 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dan dua pelajar telah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.
“Usaha sedang dilakukan untuk membawa pulang empat pelajar daripada Kolej Perubatan Mymensingh ke Malaysia, manakala sekumpulan pelajar telah dipindahkan ke penginapan sementara,” katanya.
Perkhidmatan Internet di Bangladesh mengalami gangguan meluas, tetapi perkhidmatan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) masih beroperasi.
Ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Dhaka boleh menghubungi Bilik Perhubungan Kementerian Luar di +603 8887 4570.
Kementerian berkata pihaknya sedang memantau situasi secara aktif dan menggesa semua rakyat Malaysia yang menetap di Bangladesh supaya mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi nasihat keselamatan serta kemas kini yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Semua pihak diminta supaya bertenang dan bersabar sementara Suruhanjaya Tinggi berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan berkenaan, katanya.
Ia berkata:“Suruhanjaya Tinggi sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk melindungi keselamatan dan kepentingan pelajar Malaysia di kawasan terjejas.”
Sekurang-kurangnya 45 orang dilaporkan terbunuh dan lebih daripada 2,000 orang lain cedera dalam protes ganas pelajar yang sedang berlangsung terhadap sistem kuota pekerjaan awam di Bangladesh sejak Selasa.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai