Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Islam tak izinkan apa bentuk kezaliman pun

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

ULASAN | Kita masih membincangkan isu berkaitan penggantungan selama enam bulan yang dikenakan ke atas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pada bahagian pertama semalam saya membicarakan isu ini dari sudut nature status surat layang dan hubungannya dengan perbahasan di parlimen.

Dalam perbahasan itu saya menyimpulkan lebih kurang begini: sama ada wajar atau tidak wajar seseorang ahli parlimen itu bersandar pada surat layang dalam perdebatan perlu dilihat dalam konteks tujuan dan objektif pengemukaan tersebut sejak awal.

Hari ini kita akan melihat isu sama dari sudut lain pula.

Diberitakan di media bahawa ada ahli parlimen hatta dalam blok kerajaan sendiri, iaitu Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) yang membangkitkan isu ketidakadilan ke atas Ahli Parlimen Machang tersebut kerana tidak diberikan hak untuk didengar (a right to be heard) yang - antara lain - untuk membela diri.

YB Machang juga tegas menyatakan di dalam Facebooknya yang dia tidak diberikan hak membela diri.

Setakat pengalaman berada di parlimen selama dua penggal (hampir 10 tahun) yang saya tahu (maaf jika saya silap) ada dua kaedah yang dinyatakan peraturan mesyuarat parlimen mengenai prosedur untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas ahli Dewan Rakyat.

Kaedah pertama ialah ahli parlimen terbabit "dibicarakan" melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Sebelum ahli parlimen itu ingin dirujuk ke jawatankuasa berkenaan, perlu ada suatu usul dikemukakan di dalam dewan.

Dua alasan justifikasi

Jika diterima oleh speaker ia akan dibahas dan diundi untuk diluluskan. Dan sekiranya diluluskan, barulah ahli parlimen berkenaan akan secara rasmi dirujuk ke jawatankuasa tersebut.

Selepas itu jawatankuasa terbabit akan memulakan prosiding tatatertib ke atas ahli parlimen. Lazimnya, dia akan diberi peluang membela diri.

Kaedah kedua pula - yang diguna pakai oleh kerajaan Madani baru-baru ini - ialah melalui usul yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat, dan jika dibenarkan oleh speaker Parlimen, ia dibahaskan sebelum akhirnya diundi untuk diluluskan.

Melalui kaedah kedua ini tidak timbul isu ahli parlimen terbabit perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Oleh itu kaedah kedua ini agak lebih drastik.

Para peguam biasa berkata “justice delayed is justice denied, but justice hurried is justice buried".

Semasa membentangkan usul melalui kaedah kedua itu, Menteri Undang-Undang menjustifikasikan kaedah tersebut atas dua alasan.

Pertama adalah, usul ahli parlimen "dibicarakan" oleh mereka yang sama seperti ahli parlimen tersebut, atau dalam bahasa Inggris dipanggil tried by his own peers.

Azalina Othman Said

Ia diibaratkan seperti perbicaraan di hadapan para juri.

Keduanya, YB Menteri juga (dengan disokong speaker) berhujah, telah ada duluan (precedent) kerana kaedah kedua itu pernah digunakan di parlimen sebelum ini.

Saya boleh terima hujah duluan tersebut . Ya, benar telah ada duluan sebelum ini. Isunya sekarang, adakah ia sebuah duluan yang baik atau yang buruk?

Sistem duluan sering dikatakan sistem yang baik bagi memastikan konsistensi dalam aspek menegakkan keadilan. Benar, tetapi selagi ia adalah duluan yang baik.

Jika ia adalah duluan yang buruk, ia berpotensi bertukar kepada a bad and dark justice!

Proses buat keputusan

Timbul juga isu iaitu melalui usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan - tanpa perlu merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan - adakah YB Machang masih perlu juga diberikan hak untuk didengar yang merangkumi hak untuk membela diri?

Saya berhujah, tidak kira sama ada YB itu diambil tindakan tatatertib melalui Jawatankuasa Khas dan Kebebasan atau sebaliknya (seperti usul kerajaan baru-baru ini), dia masih perlu diberikan hak untuk didengar yang merangkumi hak untuk membela diri.

Baru-baru ini mahkamah di negara kita memutuskan bahawa hak untuk didengar masih perlu diberikan hatta seandainya hak tersebut tidak dinyatakan di dalam undang-undang atau peraturan sekalipun.

I am of the view this is a correct decision.

Mereka yang biasa dengan isu undang-undang pentadbiran (sebagai peguam, secara kebetulan saya agak banyak mengendalikan kes genre ini) mereka mungkin sedari bahawa hak untuk didengar adalah salah satu komponen dalam keadilan asasi (natural justice).

Dalam bahasa Latin, hak tersebut dipanggil audi alteram partem (hear the other side).

Dalam kes seperti YB Machang, hak untuk didengar amat perlu diberikan kepada beliau. Kenapa? Saya akan terangkan sebentar lagi.

Kita perlu sedar dalam kes seperti kes YB Machang ada dua aspek yang perlu kita faham iaitu aspek keputusan (decision) dan aspek proses membuat keputusan (the decision making process) itu sendiri.

Sekiranya proses membuat keputusan itu tempang dan cacat, ia akan menjejaskan legality keputusan tersebut.

Keputusan itu mungkin sukar untuk dipertahankan (unsustainable) waima jika keputusan tersebut mungkin betul.

Sejujurnya saya tidak pasti mengapakah YB Machang dinafikan hak didengar. Dan bagaimanakah seseorang itu boleh menyokong keputusan yang dibuat tanpa proses yang adil?

Bagi saya, hak untuk didengar - termasuk hak untuk membela diri - amat perlu diberikan kepada YB Machang atas dua alasan.

Pertama, dia perlu diberi peluang untuk menerangkan versi pembelaan. Sama ada versi pembelaan tersebut ada asas dan bermerit atau tidak, itu isu lain. Terpulang kepada speaker sama ada menerima atau menolaknya.

Kedua, sekiranya pun versi pembelaan YB Machang misalnya ditolak kerana tidak bermerit, dia masih perlu diberi peluang untuk membuat hujah mitigasi ke atas hukuman yang ingin dikenakan.

Terlalu banyak keputusan mahkamah tentang kecacatan keputusan apabila hak untuk didengar dinafikan.

Tak terima ketidakadilan

YB Machang mungkin ingin memohon maaf dan menyesal atas perbuatannya semasa rayuan mitigasi. Lagipun dia hanyalah seorang MP yang baru. Oleh itu semua faktor itu sepatutnya diambil kira oleh pembuat keputusan setelah hak didengar diberikan.

Dalam isu ini, kita tahu reaksi PAS/PN ialah membaca Qunut Nazilah seakan-akan keputusan ke atas YB Machang terlalu zalim, sezalim tindakan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Biarlah, itu style PAS! Sudah tentu tiada keperluan untuk Amanah 'menari' mengikut rentak dan tarian PAS.

Bagi saya sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya, Amanah - yang saya terlibat sebagai salah seorang pengasasnya - patut menggunakan peluang dalam isu ini untuk menonjolkan aspek penegakkan keadilan dari kaca mata atau neraca Islam.

Malangnya itu tidak berlaku . Kenapa? Wallahua'lam.

Amanah sepatutnya sedar bahawa menegakkan keadilan dalam Islam adalah suatu yang bersifat mutlak (absolute) pada sebarang masa dan tanpa mengira sesiapa. Tidak ada kompromi.

Dalam ayat kelapan surah al-Maidah misalnya, Allah SWT memerintahkan bahawa wajib ditegakkan keadilan hatta kepada mereka yang kita benci (musuh).

Islam anjurkan agar keadilan ditegakkan hatta dalam keadaan yang paling sukar - dispense justice to your enemy!

Saya sama sekali tidak berminat dengan PN namun itu tidak bermakna saya boleh menerima ketidakadilan kepada pemimpin atau penyokong PN.

Saya sendiri pernah bersuara di parlimen bahawa saya, misalnya, tidak boleh bersetuju dengan Akta Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-langkah Khas] 2012).

Sekiranya Najib Razak (ketika itu sebagai perdana menteri) ditahan mengikut akta tersebut, saya bahkan akan membantahnya malah sedia menjadi peguambela beliau.

Dan saya sendiri pernah membela hak keluarga Chin Peng untuk membenarkan abu mayat beliau dibawa pulang. Ia adalah pendirian bersandarkan makna keadilan pada ayat kelapan surah al-Maidah tersebut.

Kesannya teruk saya diserang kononnya menyokong komunis.

Anyway apa label yang saya belum pernah terima daripada musuh politik saya?

Dan dalam ayat ke-105 surah an-Nisa' pula, kita boleh lihat bagaimana Rasulullah SAW diperintahkan untuk menegakkan keadilan hatta ke atas orang Yahudi yang tidak bersalah tetapi implicated dengan tuduhan palsu oleh orang Islam sendiri iaitu kaum-kerabat Thu'mah Ibnu ‘Ubayriq.

Kezaliman dalam apa bentuk pun memang tidak dibenarkan oleh Islam!

Menurut Almarhum Dr Said Ramadan (menantu Hassan Al-Banna) dalam bukunya Islamic law: Scope and Equity menyatakan, tatkala insiden itu berlaku, hubungan antara masyarakat Islam dan Yahudi dalam keadaan tegang.

Tetapi lihatlah di saat segenting itu pun Allah anjurkan agar keadilan perlu ditegakkan.

Rasulullah pula dengan tegas bersedia menegakkan keadilan hatta ke atas puteri baginda sendiri andaikata anak kesayangan itu ditakdirkan terlibat dalam jenayah mencuri!

Sayang sekali Amanah terlepas dan melepaskan peluang keemasan tersebut.


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah mantan timbalan menteri undang-undang, ahli parlimen dan peguam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.