Skip to main
Logo Malaysiakini

Guru wanita rugi RM135,150 terperdaya 'phone scam'

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Seorang guru wanita kerugian sebanyak RM135,150 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya wanita berusia 25 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa pegawai daripada Jabatan Komunikasi Digital, Bahagian Penyekatan Rangkaian, 2 Julai lepas.

Beliau berkata mangsa telah dimaklumkan bahawa nombor telefon yang digunakannya telah menyebarkan pautan tidak sah di Perak.

"Panggilan telefon itu telah disambungkan kepada suspek kononnya pegawai polis dan telah meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi tujuan siasatan.

"Mangsa yang terperdaya telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM128,000 selain menggunakan wang simpanan untuk melakukan 11 transaksi ke enam akaun bank berlainan hingga kerugian sebanyak RM135,150,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa menyedari ditipu apabila membuat semakan menerusi aplikasi Google berkaitan penipuan dalam talian dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin semalam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- Bernama