Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS bela tindakan MP baca Qunut Nazilah di parlimen

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

PAS mempertahankan sikap ahli parlimen mereka bersama PN yang membaca Qunut Nazilah selepas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung enam bulan daripada menyertai sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata bacaan tersebut wajar kerana membaca Qunut Nazilah tidak hanya terhad kepada situasi berdepan dengan peperangan.

Sebaliknya, kata Hashim, pada pandangan peribadinya doa itu boleh dibacakan jika ada "jemaah Islam" yang membawa perjuangan agama ditekan oleh pihak lawan.

“Bagi saya , kita boleh doa Qunut Nazilah atas dasar tertekan. Ini pandangan pribadi saya, bukan pandangan mana-mana mazhab.

"Qunut Nazilah ini tak merujuk situasi medan perang sahaja, kalau orang itu ditekan melalui politik juga boleh (dibaca).

"Lagi-lagi yang ditekan adalah kelompok jemaah Perikatan Nasional berjuang membawa syiar Islam,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Kelmarin, ahli parlimen pembangkang ‘menyambut’ keputusan Dewan Rakyat menggantung Wan Ahmad Fayhsal dengan membaca Qunut Nazilah. Ia diketuai Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Qunut Nazilah adalah amalan berasal dari zaman Nabi Muhammad SAW ketika baginda dan umat Islam diperangi musuh agama.

Dalam konteks semasa, doa itu sering dibaca umat Islam bagi mendoakan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis di Gaza.

Sementara itu, Ahmad Fayhsal yang juga merupakan Ahli Parlimen Machang mempertahankan tindakan Zulkifli serta ahli parlimen PN yang lain sebagai membela nasibnya.

Menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang menganggap perbuatan tersebut sebagai amalan politik yang melampau, Wan Ahmad Fayshal mendakwa doa itu tidak tujukan kepada kerajaan perpaduan, apatah lagi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul ataupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya kata Wan Ahmad Fayhsal, ia merujuk pihak yang bersubahat membantu pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza seperti BlackRock yang terpalit dengan Zionis.

“Doanya bersifat umum bukan khusus kepada seteru politik seperti yang didakwa Menteri (Saifuddin) ini.

“Yang kamu menggelupur dan terasa ni kenapa?” katanya.