Skip to main
Logo Malaysiakini

'Gaduh adik-beradik': Akmal yakin MCA setia bersama BN

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yakin MCA akan kekal setia bersama BN.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Akmal berkata rasa tidak tidak puas hati dalam kalangan parti komponen BN adalah perkara biasa sejak mereka bekerjasama puluhan tahun lalu.

"Kita ni bukan lagi sahabat, kita dah macam adik-beradik . MCA, MIC dan Umno.

"Tentunya ketidakpuasan hati berlaku. Adik-beradik pun kita bergaduh tapi mesti diselesaikan dengan cara baik.

"Pemuda BN yang ada semua ni MCA, MIC dan PBRS, kita dałam keadaan yang sangat baik dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Subang di bangunan Umno Selangor hari ini.

Akmal berkata hubungannya dengan Presiden MCA, Wee Ka Siong juga baik dan tidak ada ura-ura parti itu akan meninggalkan BN.

“Saya percaya MCA akan kekal setia bersama sahabat kita," tambahnya.

Semalam, Malaysiakini memetik sumber melaporkan bahawa akar umbi MCA memberi tekanan kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan meninggalkan BN.

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menafikan parti itu akan meninggalkan BN.

Menurut sumber daripada kepimpinan tertinggi parti itu, MCA tidak lagi gembira dengan kedudukan parti itu dalam BN selepas menyertai gabungan itu sejak 72 tahun lalu.

Bahkan sumber berkata langkah tersebut diperkirakan wajar dibuat sebelum terlambat.

Sumber itu juga menambah tekanan terhadap kepimpinan MCA untuk membuat keputusan drastik bertambah kuat selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan terus bekerjasama dengan PH pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

Namun, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menafikan laporan akar umbi parti itu memberi tekanan kepada pucuk pimpinan untuk keluar daripada gabungan BN.

"Tidak benar. Tidak ada perbincangan sebegitu dalam parti," katanya, lapor FMT.

Sementara itu, Akmal berkata dia meraikan kepelbagaian pendapat dan percaya sikap lantang MCA bagi peranan semak dan imbang kepada pentadbiran semasa.

"Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan labelkan orang ni nak keluar parti atau jadi jurucakap parti lain. Kita kena belajar berbeza pendapat untuk baiki semua kelemahaan sedia ada,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan Lokman Adam, Akmal berkata dia menghormati ahli majlis tertinggi Umno itu sebagai “saudara" dalam kepimpinan parti.

Bagaimanapun, dia mengingatkan Lokman bahawa budaya melabel orang antara punca rakyat tidak lagi menyokong parti Melayu itu.

"Saya tak mulakan, dia yang mula. Saya pantang dicabar. Orang cabar kita, kita tak boleh.

"Apapun kita masih kuat dan utuh bersaudara,” kata Akmal.

Lokman dan Akmal telah bertelagah antara satu sama lain dalam pelbagai isu, dengan yang terbaru mengenai keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk tidak mengisytiharkan enam kerusi parlimen itu kosong walaupun penyandang mereka telah mengalihkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Akmal sebelum ini menyindir keputusan Johari berkata ia menjadikan undang-undang antilompat parti tidak bermakna.

"Maka sia-sialah akta antilompat parti yang diminta oleh rakyat selama ini. Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Jangan marah jika rakyat benci pada orang politik. Selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik,” katanya pada hantaran di Facebook.

Lokman kemudian menyelar Akmal, memberi amaran kepada ketua Pemuda Umno itu supaya tidak menjadi jurucakap PN dalam isu berkenaan.

[Baca berita asal]