Skip to main
Logo Malaysiakini

Masih awal bincang agihan kerusi PRU16 - SU agung BN

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata masih terlalu awal untuk memutuskan sebarang tuntutan kerusi bertindih antara gabungan itu dan PH bagi pilihan raya umum ke-16 akan datang.

Zambry berkata sebarang keputusan seumpama itu akan dibuat oleh pucuk pimpinan BN.

Tuntutan sebegini, katanya tidak hanya di Alor Setar malah turut datang dari kawasan lain juga.

"Bukan hanya membabitkan Umno tetapi juga parti komponen lain dan 'friend of BN'.

"Yang paling mustahak akhirnya kita akan buat keputusan peringkat BN kerana kepimpinan BN adalah melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi BN...

"Jadi masih terlalu awal untuk kita fikirkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Umno Bahagian Cheras hari ini.

Zambry diminta mengulas laporan media mengenai resolusi sebulat suara Umno Alor Setar supaya parti itu bertanding kerusi parlimen Alor Setar dan sekurang-kurangnya satu dari tiga kerusi DUN di bawah kawasan itu pada PRU16.

Pada PRU15, calon PN Afnan Hamimi Taib Azamudden menang kerusi parlimen Alor Setar dalam pertandingan tujuh penjuru menentang calon BN, PH, Pejuang, Warisan dan dua calon bebas.

Pada pilihan raya negeri Kedah 2023, PN turut menewaskan calon PH di dua dari tiga kerusi DUN di bawah parlimen Alor Setar - Suka Menanti dan Alor Mengkudu. Ini selepas PH membentuk kerajaan perpaduan dengan BN.

Awal hari ini, Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid dipetik FMYT berkata dakwaan itu tidak akan mewujudkan sebarang keretakan dalam kerajaan negeri.

Ia juga melaporkan Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar percaya dakwaan itu hanyalah cadangan dan bukan keputusan muktamad pimpinan Umno.

Dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil berikutnya yang diadakan sejak PRU15, BN-PH sebahagian besarnya melihat persefahaman status-quo dengan mana-mana parti akan bertanding semula di kerusi yang dimenanginya sebelum ini.