ULASAN | Fanatisisme mengundang terorisme
ULASAN | Kecoh di dalam Dewan Rakyat beberapa hari yang lepas apabila Ahli Parlimen Jasin dari PAS mengetuai bacaan Qunut Nazilah dan disambut dengan semangat oleh kebanyakan ahli parlimen PN.
Ia dibuat selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama enam bulan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat ekoran isu surat layang.
Gegak gempita Malaysia - khususnya peminat politik - yang membincang dan melihat bacaan Qunut Nazilah ini sebagai suatu reaksi politik yang melampau.
Sebaliknya, para penyokong dan pemimpin berkaitan PN memberikan respon yang berbeza. Mursyidul Am PAS - yang pernah menobatkan Mohd Khairudin Aman Razali sebagai hudhud pada zaman Covid-19 dulu - kembali berpencak mempertahankan tindakan sekutunya.
Berdasarkan pandangan peribadinya, Hashim berkata, Qunut Nazilah bukan hanya untuk peperangan dengan orang bukan Islam, tetapi boleh dibaca ketika jemaah Islam ditekan dan dizalimi.
Malaysiakini pada 20 Julai memetik Hashim sebagai berkata: "Lagi-lagi yang ditekan adalah kelompok jemaah Perikatan Nasional berjuang membawa syiar Islam.”
Seorang ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik, pula menggesa bacaan Qunut Nazilah diteruskan oleh para penyokong PAS-PN dengan coretannya di media sosial seperti yang dipetik oleh Malaysiakini pada 22 Julai seperti berikut: “Baca je terus Qunut Nazilah sampai semua orang zalim tak kira di mana zaman dan di mana daerah di penjuru dunia ini dijatuhkan oleh Allah. Mereka memang tak mengaku ada kurap, tapi apabila disimbah air belacan kenapa kamu tergaru-garu?”
Garang dan nakal tulisan hamba Allah tersebut yang sering dirujuk sebagai antara figura ulama yang penting dalam PAS.
Daripada reaksi beberapa tokoh PAS tersebut dapat kita simpulkan bahawa bacaan Qunut Nazilah secara perspektifnya memang ditujukan kepada parti politik yang berlawanan dengan mereka.
Apatah lagi kata-kata mursyidul am tersebut yang memberikan bayangan bahawa PN sedang berada dalam posisi yang tertindas, sang mustadhafin - suatu istilah yang sering diguna pakai PAS sejak puluhan tahun lalu.
Bagaimanapun, respon Ahli Parlimen Machang sendiri berkaitan isu itu lebih menghala kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Blackrock yang terpalit dengan Zionis.
Demikianlah sedikit preamble kepada polemik panas di parlimen kita ini.
Tak semua senang dibelit
Isu tersebut malah mengundang komen daripada sekurang-kurangnya dua orang mufti, iaitu Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, dan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah.
Mereka berdua senada dalam menyimpulkan bahawa bacaan Qunut Nazilah sesama Muslim tidak syarie, dan bersependapat bahawa ia tidak boleh digunakan atas sebab pergeseran politik. Muktamad.
Namun, membandingkan pandangan dua orang mufti yang berpengaruh tersebut dengan beberapa ucapan pemimpin PN jelas menampakkan kontradiksi.
Para pimpinan PN bersilat pulut dan memesongkan tujuan sebenar bacaan qunut tersebut supaya mereka tidak dipandang sebagai golongan yang ghuluw atau melampau.
Apakah terlalu naif orang ramai, para pimpinan politik dan khususnya para mufti yang tercerah untuk mempercayai kata-kata dan penafian PN tersebut? Apakah mereka fikir orang lain senang dibelit seperti para pentaasub mereka yang sentiasa walak?
Apakah kita semua tidak pernah membaca dan memahami natijah daripada sikap fanatik kumpulan mereka itu?
Sejak awal 1980-an, kita semua terganggu dengan ucapan yang dikenali sebagai Amanat Haji Hadi yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Melaka dan diperdebatkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan, kemudiannya tiba-tiba lenyap daripada portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 2021 iaitu ketika PN menjadi kerajaan pusat?
Betapa banyaknya kerosakan dan perpecahan yang dilaporkan selama berbelas tahun ekoran salah faham para pentaasub yang memandang Umno sebagai parti politik yang sesat, dan produk penjajah yang perlu ditentang habis-habisan.
Walaupun ditepis dengan pelbagai alasan, amanat tersebut ditinggalkan secara terbuka kepada tafsiran umum sehingga para pengikut yang tidak rasional mengambil dan mentafsirkan ia secara semberono.
Masyarakat diracun fanatisisme
Fanatisisme yang disemai sejak puluhan tahun berisiko melahirkan manusia-manusia yang radikal, yang memandang lawan politik bukan sebagai pesaing sebaliknya musuh agama yang perlu dihapuskan.
Masakan tidak, ketika meneliti semula ucapan Musyidul Am PAS sendiri seperti yang di atas, ia jelas mewujudkan dikotomi antara Muslim PN dengan Muslim parti lawan.
Ia ditambah dengan banyaknya ucapan yang dilontarkan di pentas ceramah serta video di media sosial yang membawa pandangan tentang pertentangan yang menjurus kepada perseteruan antara fahaman agama, bukan sekadar warna bendera politik.
Misalnya, Ketua Pemuda PAS Sik yang pernah mengeluarkan kenyataan, “Undi PH dan BN masuk neraka.”
Memang dia kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, namun hakikatnya hal itu mempamerkan isi hati yang terindoktrin kemas dan cuba disebarkan kepada para pengikut mereka.
Apakah dengan permohonan maaf dan penarikan semula itu bisa menghentikan kemarahan serta kebencian yang sudah disemai dab dibaja sejak video asal tersebut disebarkan?
Ia tidak berupaya untuk membalikkan kesan asalnya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Dalam konteks ini, keburukan bukan jatuh pada si penutur, tetapi kesan hitam itu terkena pada masyarakat yang disembur dengan racun fanatisisme.
Sikap fanatisisme dan keberpihakan adalah sikap yang tertutup terhadap pandangan berbeza dan sentiasa cuba untuk menolaknya. Sikap seperti ini melihat hanya diri sendiri atau kumpulan sendiri sebagai benar, sementara pihak lain dianggap salah.
Ia dengan berani menuduh sesiapa saja yang berbeza pendapat sebagai tidak berpengetahuan lagi jahil.
Sesiapa yang tidak setuju dengan pandangan mereka akan dianggap sebagai pendosa. Keadaan itu meletakkan mereka seolah-olah menganggap diri sendiri sebagai rasul yang maksum, manakala perkataannya sebagai wahyu.
Padahal semua ulama dari masa lampau hingga kini bersetuju secara ijmak bahawa semua pendapat manusia boleh diterima atau ditolak, kecualilah kata-kata Rasulullah SAW.
Pilih politik matang
Kita bimbang sekiranya ketaksuban ini akan mencetuskan keganasan atau terorisme ekoran kebencian yang ditanam sejak bertahun-tahun.
Dengan keberadaan media sosial yang berupaya menjadi ejen penyebar dalam sekelip mata, natijah daripada kebencian, jenayah kebencian (hate crime) boleh bertumbuh menjadi keganasan jika tidak dibendung dan dicegah.
Jika ada yang berhujah, “Ah, ini semua kes-kes terpencil yang tak ada keganasan fizikal pun!” maka kita tanya mereka semula: “Habis tu, kalian mahu menunggu sampai bertembung, berdarah dan bercerai-berai di sana sini baru mahu bertindak?”
Kita boleh sahaja memilih untuk berpolitik secara matang dan sejahtera seperti yang digembar-gemburkan suatu ketika dulu, namun dalam banyak keadaan ahli politik kita memilih untuk berpencak secara dangkal dan ganas.
Susah sangatkan untuk parti yang mendakwa dirinya membawa obor politik Islam bersikap adil?
Jika pihak yang dituduh sebagai sekular dan liberal itu buruk lagi busuk, kita teringin untuk melihat keindahan dan keharuman politik yang dibalut dengan agama.
"Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasul pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu (al-Baqarah: 143).
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN adalah pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai