Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua wakil rakyat dapat kebenaran cabar penggantungan Parlimen

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan semakan kehakiman oleh ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dan Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari.

Ia adalah untuk memulakan cabaran terhadap nasihat perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen digantung semasa darurat era Covid-19.

Kedua-dua mereka mahu penghakiman mahkamah sivil berhubung kesahihan nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong yang membawa kepada penggantungan Parlimen semasa era Covid-19 pada 2021.

Bagaimanapun, Parlimen telah mula bersidang dan perintah darurat berkaitan telah ditarik balik dua tahun lalu, berikutan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia yang semakin pulih.

Dengan keputusan mahkamah tertinggi hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar semakan kehakiman itu, yang menyentuh nasihat yang diberikan oleh perdana menteri kepada Seri Paduka Baginda untuk pengisytiharan darurat.

Nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong dinyatakan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Hassan dan Aziz memohon perintah mahkamah bahawa keputusan kabinet Muhyiddin untuk menasihatkan Seri Paduka Baginda mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang dan tidak berkuat kuasa.

Ordinan itu telah menyebabkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara digantung buat sementara waktu.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan sidang lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel itu juga dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Harmindar Singh Dhaliwal, dan Rhodzariah Bujang.

Semakan kehakiman itu pada asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi pada 2021, oleh ketua pembangkang ketika itu, Anwar Ibrahim, dan ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, dan ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub.

Bagaimanapun, Anwar dan Johari, yang kini menjadi perdana menteri dan Speaker Dewan Rakyat, telah menarik diri, manakala Salahuddin meninggal dunia tahun lalu.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi menafikan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu yang dikaitkan dengan nasihat perdana menteri kepada Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan Ordinan Darurat.

Semakan itu kini dikembalikan  ke Mahkamah Tinggi, dengan Muhyiddin dan kerajaan dinamakan sebagai responden.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin hadir untuk mewakili pihak kerajaan, manakala peguam Gurdial Singh Nijar mewakili Hassan dan Aziz.

[Baca berita penuh]