Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu yang patut risau pada 'rundingan' Umno-PAS, kata Fahmi

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ketika pemimpin tertinggi Umno dan BN menafikan wujud sebarang rundingan dengan pihak dalam PN, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini yang sepatutnya "benar-benar bimbang" ialah Bersatu.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan itu berkata, Bersatu sedar bahawa mereka sebenarnya menjadi beban kepada PN dan PAS dalam gabungan tersebut.

"Saya yakin Bersatu patutnya betul-betul takut mengenai hal ini, macam di Nenggiri, ramai (dalam PAS) mahukan parti PAS bertanding di situ

"Pihak yang patut paling risau ialah Bersatu sebab mereka tahu dan faham mereka adalah liabiliti kepada PAS dan PN," katanya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Fahmi ditanya media mengenai khabar angin yang mendakwa berlaku rundingan sulit di antara Umno dan PAS, serta kemungkinan ada kebimbangan di pihak PH.

Isu itu muncul ekoran dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari melalui media beberapa hari lalu.

Ia sedikit sebanyak mengingatkan orang ramai terhadap isu yang hampir sama dibangkitkan Fahmi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Jun lalu.

Ketika itu Fahmi mendakwa "banyak perbincangan" berlangsung di antara pihak kerajaan dan pembangkang, terutama membabitkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun dia tidak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan PAS ada membincangkan tentang kemungkinan parti pembangkang itu mahu menyertai kerajaan perpaduan.

Untuk rekod PRK Nenggiri - yang terletak di bawah kawasan parlimen Gua Musang - akan diadakan pada 17 Ogos dengan kempen bermula secara rasmi pada hari penamaan calon iaitu pada 3 Ogos.

Kerusi Nenggiri diistiharkan kosong ekoran keputusan dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Amar Abdullah, pada 19 Jun lalu.

Ia kesan daripada penyandang kerusi terbabit, Mohd Azizi Abu Naim, memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan di sebalik kedudukannya sebagai wakil rakyat PN.

Mohd Azizi ahli parlimen Gua Musang dan dicalonkan juga oleh Bersatu-PN untuk bertanding di Nenggiri semasa Kelantan mengadakan pilihan raya negeri.

Sebelum ini beberapa pihak dalam PAS mendesak agar kerusi tersebut dikembalikan kepada parti itu, dan bukannya Bersatu bagi mengelak berulangnya kejadian wakil rakyat berpaling tadah.

Antara pihak yang mendesak PAS bertanding di Nenggiri ialah Dewan Muslimat PAS Pusat sendiri.

[Baca berita penuh]