M'sia pergiat usaha muktamadkan kod tatalaku Laut China Selatan
Malaysia sebagai negara penyelaras untuk hubungan dialog Asean-China akan mempergiatkan usaha untuk memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata Malaysia yang mengambil alih peranan negara koordinasi pada tahun ini mahu kod tatalaku yang diterima pakai semua pihak.
"Malaysia sebagai negara penyelaras bersama China, kita akan pergiatkan dan perbanyakkan rundingan dengan negara-negara rakan Asean supaya sebarang kekeliruan atau isu berkaitan dengan tuntutan di Laut China Selatan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin," katanya kepada media Malaysia di Vientiane, Laos Jumaat.
Terdahulu, semua Menteri Luar Asean telah mengadakan mesyuarat bersama rakan dialog utama dalam Pasca Persidangan Menteri-Menteri Asean yang diadakan di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) di Vientiane, Laos.
Selain Wang, antara rakan dialog yang hadir pada Pasca Persidangan Menteri-Menteri adalah Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, Setiausaha Luar United Kingdom David Lammy dan Perwakilan Tertinggi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan EU, Josep Borrell-Fontelles.
Mohamad berkata Malaysia mahu isu Laut China Selatan diselesaikan melalui dialog dan rundingan.
Beliau berkata secara keseluruhannya, semua negara Asean menyatakan bahawa Laut China Selatan perlu bebas daripada sebarang bentuk penguasaan terutamanya di laluan perairan antarabangsa.
"Dalam perjumpaan dengan Menteri Luar China Wang Yi, semua negara Asean telah bersetuju bahawa sebarang isu berkenaan Laut China Selatan perlu dibuat secara rundingan. Kita mesti mengadakan dialog dan bersama-sama supaya "pendekatan Asean” sebagai satu suara dalam (isu) Laut China Selatan," katanya.
Selain itu, Mohamad berkata Malaysia menekankan kepentingan penyelesaian pertikaian secara aman mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 serta meredakan ketegangan melalui dialog dan rundingan membina.
Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan telah menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.
Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau-pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.
Pada Julai 2016, berikutan tuntutan yang difailkan oleh Filipina, Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague memutuskan bahawa China tidak mempunyai asas untuk tuntutan wilayah di Laut China Selatan.
Mahkamah memutuskan bahawa pulau-pulau itu bukan wilayah yang dipertikaikan dan tidak membentuk zon ekonomi eksklusif.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai