Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim sokong keputusan kabinet: Teguran saya sebelum KPM keluar kenyataan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata kenyataannya semalam mengenai Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dibuat sebelum Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan berkaitan garis panduan kutipan dana sekolah.

Lim berkata sebagai anggota kerajaan, dia menyokong penuh keputusan kabinet, menurut Sin Chew Daily.

Menjawab kenyataan setiausaha politik Fadhlina, Atiqah Syairah Shaharuddin, Lim menjelaskan kenyataannya pagi semalam mengenai Fadhlina dibuat sebelum kenyataan kementerian itu dikeluarkan pada sebelah petang.

"Pada masa itu, kenyataan kementerian masih belum dikeluarkan, jadi saya menyatakan pandangan saya, berharap dia tidak terlalu keras dan akan berfikir dua kali. Ini adalah komen biasa dan bukan perbalahan," katanya

Bagaimanapun, beliau menyebut Atiqah seolah-olah menganggap ini kenyataannya selepas kementerian mengeluarkan kenyataannya.

“Kenyataan kabinet telah dikeluarkan, dan ia termasuk input daripada pemimpin DAP seperti Anthony Loke, yang diterima oleh kabinet.

“Ini keputusan kabinet dan sebagai ahli kerajaan perpaduan, kami pastinya akan menyokong keputusan kolektif kabinet,” kata Lim selepas menghadiri satu majlis di Pulau Pinang hari ini.

Dia juga berkata kabinet telah memutuskan bahawa garis panduan asal kutipan dana Kementerian Pendidikan kekal tidak berubah, mengekalkan amalan membenarkan sekolah aliran berbeza menerima sumbangan seperti yang dibenarkan oleh pentadbiran terdahulu. Keputusan inilah yang dicanangkan parti selama ini.

"Saya juga menyebut pagi semalam bahawa segala-galanya harus kekal sama, yang sentiasa menjadi pendirian kami," katanya.

Lim berkata mungkin Atiqah tidak faham bagaimana media beroperasi dan tidak tahu bahawa kenyataannya dibuat sebelum kementerian mengeluarkan kenyataan itu.

Semasa sidang media pagi semalam, Lim telah mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina, menegaskan dia bukan "menteri pendidikan PAS."

“Komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara pengumpulan dana pendidikan Cina agak keras. Saya harap dia akan mempertimbangkan semula pendiriannya.

“Dia bukan menteri pendidikan PAS. Beliau mewakili Pakatan Harapan, kerajaan perpaduan, dan seluruh negara,” kata Lim yang juga Adun Air Putih.

Kenyataan Lim itu telah mengundang kritikan daripada beberapa pihak.

Atiqah telah membidas Lim, berkata malah pemimpin PAS telah menerima keputusan kabinet mengenai pengumpulan dana pendidikan Cina.

“Reaksi itu jelas menunjukkan beliau komited bukan sahaja tidak bersetuju dengan menteri pendidikan tetapi juga dengan keputusan kabinet," kata pegawai menteri itu.

Dia juga menggesa Lim menamatkan polemik yang dicetuskan oleh penglibatan Tiger Beer dalam menyokong majlis amal anjuran SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek, Selangor.

Petang semalam, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan mengumumkan kerajaan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk kutipan derma sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman beralkohol di premis sekolah.

Bagaimanapun, kerajaan pada mesyuarat kabinet minggu ini juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.


BACA BERKAITAN:

Ada apa dengan sekolah Cina?

PANDUANKINI | Bagaimana konsert bantu sekolah Cina kumpul wang