Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga sedih, risau Malakat Mall bakal tinggal kenangan

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

TINJAUAN | Pada hari-hari terakhir Malakat Mall, ada peniaga yang percaya langkah membatalkan keputusan menutup pusat komersial didakwa mesra Muslim itu belum terlambat untuk diubah.

Berdepan dengan pelbagai kemungkinan, tinjauan Malaysiakini semalam mendapat ada sedikit sinar kelegaan buat para peniaga di situ.

Pemilik bangunan terbabit, Setia Haruman Sdn Bhd, sudi membenarkan mereka untuk terus berniaga di sana seperti biasa selama dua bulan.

Seorang peniaga yang ditemui percaya masih ada potensi untuk perniagaan sebegitu diteruskan, namun terpaksa menerima hakikat bahawa keputusan muktamad sudah dibuat dan tiada perubahan akan berlaku.

Sharifah Rohana Syed Muhammad memberitahu Malaysiakini memang dia pernah memujuk pihak yang berkenaan supaya operasi perniagaan Malakat Mall diteruskan.

Katanya pujukan itu tidak berjaya dan tiada perubahan akan dilakukan.

Mengakui sangat selesa berniaga di Malakat Mall peniaga butik itu berkata kerjasama dalam kalangan peniaga Melayu di situ memang sangat utuh, justeru sedih apabila melihat ia akan berakhir tidak lama lagi

“Saya dah cuba merayu agar diteruskan operasi Malakat Mall namun pihak atas sudah tetap pendirian mereka,” katanya.

Sharifah Rohana juga memberitahu dia mungkin akan meneruskan perniagaannya di bangunan berkenaan walaupun bukan lagi di bawah 'payung’ Malakat Mall seperti selalu.

Cuma, katanya, dia bimbang kadar sewa yang akan dikenakan pihak pengurusan akan memberi tekanan kepada operasinya.

“Sebelum ini, kami memang tak perlu bayar sewa pun, cuma buat masa ini saya akan terus cuba untuk kekal berniaga di sini.

“Saya harap harga sewaan boleh dirundingkan, kalau mahal sangat mungkin saya kena cari tempat yang lain,” katanya.

Jangan buat-buat terkejut

Peniaga minyak wangi, Mohd Suhairin Adam, 43 pula memberitahu dia terkejut apabila pihak pengurusan membuat pengumuman bahawa Malakat Mall akan ditutup pada akhir Julai ini.

“Rasa lemas juga fikir tentang tempat kita nak berniaga selepas ini sebab dah empat tahun kami di sini.

“Namun setelah berbincang dengan pihak pemaju, mereka sudi nak ambil alih, cuma kami tunggu apa keputusan muktamad daripada mereka,” katanya.

Mohd Suhairin menyatakan buat masa ini mereka akan berniaga seperti biasa sementara menunggu keputusan akhir daripada pemaju dalam proses pengambilalihan tersebut.

Dia juga menyatakan kenangan Malakat Mall akan kekal terpahat di dalam hatinya kerana ia dianggap pusat beli-belah yang unik serta memaparkan syiar Islam.

“Mana ada pusat beli-belah yang buat solat berjemaah secara terbuka, program maulid serta ulama-ulama dijemput seperti Malakat Mall ini,” katanya.

Penjahit baju yang ingin dikenali sebagai Sani, 61, sebaliknya melihat penutupan Malakat Mall adalah satu kemestian memandangkan perniagaan di situ agak perlahan.

“Di sini saya hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM700-RM800 sebulan.

“Pihak pemaju ada maklumkan Sept nanti mereka akan tetapkan cara pembayaran sewa baru. Buat masa ini semua penjaja akan berniaga tingkat paling bawah,” katanya.

Muhammad Faris Dinie

Pekerja restoran, Muhammad Faris Dinie, 28, pula menyatakan staf yang terlibat dalam operasi makanan dan minuman tidak berasa bimbang kerana mereka akan dipindahkan ke premis baru di Casa De Madani.

“Yang saya risau ialah penjaja lain, ke mana mereka akan pergi selepas ini,” katanya.

Malakat Mall merupakan pusat beli-belah yang membuka peluang kepada usahawan Melayu Islam untuk berniaga secara runcit. Antara perniagaan yang ada dis itu termasuklah butik pakaian, kedai makan dan tapak jualan lain.

Ia bagaimanapun diumum akan ditutup atas alasan gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pun begitu beberapa pihak menganggap kegagalan tersebut berpunca daripada strategi yang diambil oleh pihak pengurusan kerana model yang ditawarkan itu memberi tumpuan besar kepada aspek bangsa dan agama.

Adzhar Mohd Noor

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Adzhar Mohd Noor, memberitahu Malaysiakini, usahanya memajukan ekonomi bumiputera melalui Malakat Mall tidaklah gagal sepenuhnya.

“Dari satu sudut banyak usahawan Melayu berjaya memulakan perniagaan di premis kami.

“Contohnya, ada kedai biskut yang memulakan operasi di sini suatu ketika dulu, sekarang sudah menembusi pasaran Jepun,” katanya.

Adzhar menambah penutupan pusat beli-belah itu sebahagian daripada cabaran dalam perjuangannya.

“Kita (orang Melayu) ada kuasa membeli. Sepatutnya kita harus manfaatkan kuasa kita itu.

“Jangan kita buat-buat terkejut kenapa 10 orang terkaya di Malaysia bukan dalam kalangan bangsa kita,” katanya.

Rasa kurang selesa

Sementara itu tinjauan semalam mendapati jumlah pengunjung pusat komersial itu tidak seramai seperti hari-hari awal promosi jualan murah sebelum ini.

Barang-barang di bahagian Malakat Grocer juga sudah semakin berkurangan dengan ketara.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui pula memberitahu mereka hadir ke Malakat Mall disebabkan tertarik pada harga promosinya.

Faisal Shariman

Pengurus syarikat swasta, Faisal Shariman, 46, memberitahu sebelum ini dia jarang hadir ke Malakat Mall kerana berpendapat harga yang ditawarkan peniaga agak mahal berbanding di tempat lain.

“Cuma untuk persiapan menunaikan umrah, saya dengar ada promosi. Jadi saya carilah barang murah yang boleh dibeli,” katanya.

Lain pula reaksi seorang anggota polis, Haslina Wahab, 40, yang kerap hadir ke Malakat Mall kerana barangnya yang murah, selain ada kemudahan yang diperlukan oleh anaknya.

“Anak saya ada latihan memanah di sini. Jadi sambil menunggu dia habis, saya membeli barang dapur dan makan di sini.

"Makanan yang dijual di gerai-gerai juga enak,” katanya.

Alisuwandi Idris

Pemandu lori, Alisuwandi Idris, 38, memberitahu walaupun jarang hadir ke Malakat Mall, namun dia berasa sedih apabila pusat komersial tersebut akan tinggal kenangan tidak lama lagi.

“Sedih la juga kerana tempat ini Melayu punya dan sekarang akan ditutup,” katanya.

Bagi Angelruran Henroy, 21, sepanjang setahun dia bekerja di Malakat Mall, dia sangat suka suasana pusat komersial tersebut yang dirasakannya sangat tenang berbanding pasar raya lain.

“Isu agama Islam yang diamalkan secara terbuka, saya tak masalah. Saya juga boleh belajar dengan lebih dekat kepercayaan orang Muslim,” katanya.

Seorang pengunjung lain, Alex See, 17, memberitahu dia hadir di situ semalam hanya kerana mengikuti ibunya untuk membeli barangan di Malakat Mall kerana ada promosi jualan murah.

“Namun, saya kurang selesa dengan suasana yang terlalu Islamik di sini,” katanya.