Skip to main
Logo Malaysiakini

Aiman Atirah tak mahu layan gesaan Maszlee supaya berundur

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Atirah Sabu enggan melayan gesaan supaya dia melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat susulan tindakannya hadir ke majlis penyampaian sumbangan kepada sebuah sekolah vernakular di Sepang yang dianjurkan sebuah syarikat pengeluar bir.

Menganggap insiden berkenaan sebagai tiada isu, Aiman berkata dia telah pun mengemukakan permohon maaf kerana kehilafan berkenaan yang didakwanya tidak disengajakan.

"Saya tak mahu terheret dengan benda yang sebenarnya tak ada isu saya sebenarnya telah mengemukakan permohonan maaf saya seandainya telah melakukan kehilafan.

"Selebihnya itu kita perlu maju terus menumpukan kerja kita, rakyat perlukan pembelaan, rakyat memerlukan perkhidmatan," katanya dalam satu sidang media di Puchong, hari ini yang disiarkan portal media tempatan.

Semalam, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyarankan agar Aiman Athirah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Sepang susulan kehadirannya pada acara kutipan dana sekolah Cina yang melibatkan jenama minuman keras.

Maszlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata penglibatan Aiman selaku ketua Wanita Amanah dalam acara itu insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej parti berkenaan.

“Islam rahmah yang dibawa oleh Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah," kata Maszlee .

Mengulas lanjut, Aiman Atirah berkata tumpuannya kini untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

"Kita di peringkat KPKT banyak kerja lagi kita perlu beri tumpuan, menjadi keutamaan saya untuk beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaku timbalan menteri salah satu kementerian besar yang memerlukan santunan kepada rakyat tanpa mengira kaum di seluruh negara," katanya.

Tak perlu ikut lawan keruhkan isu

Sementara itu, Ketua Wanita Amanah (Awan) Wilayah Persekutuan Rafiza Askolani pada kenyataan berasingan berkata isu melibatkan Aiman tidak perlu dipanjangkan apalagi dia telahpun mengaku khilaf.

Rafiza berkata gesaan Maszlee Malik supaya Aiman meletakkan jawatan tidak berasas.

“Tidak perlu nak sarankan sehingga Aiman Atirah letak jawatan. Dia telahpun mohon maaf.

“Fokus pada isu dan kerja-kerja yang lebih utama berbanding memanjangkan perkara seperti ini. Maszlee tak perlu terbawa-bawa dengan permainan pihak lawan yang cuba mengeruhkan lagi isu ini,” katanya.