Skip to main
Logo Malaysiakini

Mindef teliti kapal CCG undang resah nelayan, pemancing

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kementerian Pertahanan (Mindef) akan meneliti kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Laut China Selatan, khususnya di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali yang menimbulkan keresahan dalam kalangan nelayan mahupun pemancing.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata tidak menjadi isu sekiranya kapal CCG itu sekadar meronda di kawasan perairan berkenaan tanpa berhenti.

"Kita akan melihat perkara itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Gombak, di Gombak, hari ini.

Khaled berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan Malaysiakini berhubung rasa tidak senang dalam kalangan nelayan mahupun pemancing dengan kehadiran CCG itu diperairan Laut Cina Selatan.

"Menjejaskan kedaulatan kita kalau bot-bot itu dia berhentikan. Tapi kalau dia juga (hanya) lalu (kawasan perairan) itu kita tak boleh buat apa.

"Itu adalah (tertakluk) undang-undang antarabangsa, undang-undang laut antarabangsa," katanya lagi.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Setiausaha Kelab Pemancing Miri, Vincent Lo, berkata dia berasa tidak bebas untuk ke laut dengan kehadiran CCG meskipun di perairan negara sendiri.

Dia memberitahu Malaysiakini mengenai kehadiran CCG di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali.

Katanya, situasi ini menyukarkan mereka untuk turun ke laut bagi tujuan memancing kerana khuatir akan diganggu CCG.

"Macam kita tak bebas nak pergi ke sana yang juga kawasan kita sendiri.

"Bagi saya banyak aktiviti perlu diadakan di sana untuk menunjukkan bahawa itu kawasan kedaulatan kita," katanya.

Bagaimanapun dia mengakui dalam masa terdekat ini tiada gangguan terhadap pemancing ataupun nelayan, bagaimanapun mendakwa sebelum ini ada kejadian pengusiran nelayan dilakukan oleh kapal China itu.

"Ada nelayan yang juga kaki pancing jumpa CCG di dalam kawasan perairan 70 batu nautika dan nelayan tidak berani untuk mendekati.

"Sebelum ini ada bot nelayan dihalau balik oleh CCG apabila hampir pada kawasan yang dironda mereka walaupun itu kawasan perairan kita," kata Lo.


BACA BERKAITAN:

'Kita tak bebas walau di laut sendiri'

Audit: 89 kali kapal China ceroboh perairan Malaysia

Kapal China di perairan S'wak: Jangan berulang Batu Puteh - Khaled

Tuntutan laut: Malaysia hantar bantahan 'keras luar biasa' kepada China