Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri pertahanan yakin tiada lagi kes buli di UPNM

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin yakin tidak akan berlaku lagi kejadian buli seperti yang melibatkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Khaled berkata tiada kejadian serupa telah dilaporkan sejak tragedi pada 2017, menunjukkan langkah sewajarnya telah dilaksanakan.

"Saya percaya selepas kejadian itu tidak ada lagi perkara perkara ini berlaku.

"Jadi maknanya mungkin tindakan tindakan yang sewajarnya telah diambil oleh pihak universiti,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Umno bahagian Gombak.

Khaled juga menyuarakan keyakinan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah kejadian sedemikian di semua universiti.

Jelasnya, walaupun UPNM terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan tetap mengekalkan hubungan rapat dengan institusi itu kerana lokasi dan naib canselor bersama.

"Dalam hal ini kita juga beri perhatian dan kita juga sampaikan kepada pihak pengurusan universiti supaya mereka pastikan ini semua tidak berlaku di masa akan datang,” kata Khaled.

Khaled mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang menjatuhkan hukuman mati ke atas enam bekas kadet UPNM atas kesalahan pembunuhan Zulfarhan.

Mahkamah membatalkan hukuman penjara 18 tahun sebelum ini dan mengembalikan semula pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Individu yang disabitkan kesalahan, kini berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.