Skip to main
Logo Malaysiakini

Chegubard ditahan lepas dakwa pegawai TLDM rasuah

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin, juga dikenali sebagai Chegubard, ditahan pada pukul 3 petang hari ini.

Dia disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali.

"Siasatan adalah berkaitan pendedahan Che'Gu Bard atas dakwaan isu korupsi dan rasuah oleh pegawai tertinggi TLDM.

"Pihak polis juga mengesahkan permohonan Reman akan dibuat pagi esok di hadapan Majistret, Mahkamah Majistret Putrajaya jam 9.00 pagi," kata Rafique (gambar bawah) pada satu kenyataan.

Pada 26 Julai lalu, Chegubard berkata sekumpulan anggota polis telah mengunjungi kediamannya untuk meminta dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

"Kononnya kerana saya mendedahkan laporan sulit berkaitan korupsi. Label dokumen sulit rupanya 'pelindung' korupsi.

"Ugutan ditangkap bersangkutan posting dedah dokumen sulit libat rasuah memang saya telah terima beberapa hari lepas," katanya pada hantaran di Facebook.

Sebelum itu, pada 22 Julai, Badrul menyiarkan di Facebook mengenai dokumen sulit yang didakwa diterimanya pada 15 Julai lalu.

Dokumen itu dikatakan ditujukan kepada Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan SPRM serta kelihatan ditandatangani oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Abdul Rahman Ayob.

Ia didakwa mengandungi aduan mengenai calon yang menjadi ‘kegemaran parti tertentu’ bagi menggantikan Abdul Rahman yang akan bersara tidak lama lagi.

Badrul mendakwa dokumen itu menunjukkan bagaimana individu terbabit terlibat dalam beberapa kes rasuah termasuk perolehan RM45 juta.

Dakwa Badrul lagi, kertas siasatan SPRM juga menyatakan bahawa "individu tersebut jelas tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan tidak amanah terhadap tugasan dan amanah."

"Bayangkan individu korup ini jadi panglima tentera laut dalam keadaan Laut China Selatan sedang berdepan krisis dan konflik,” katanya.

Pada 24 Julai, Badrul mendakwa dia telah menerima ugutan atas pendedahannya.

Dia memaklumkan telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin.