Skip to main
Logo Malaysiakini

Kg Sg Baru: 'K'jaan akan dikenang sebagai perompak jika ikut nilai PN - Khalid

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kerajaan terus didesak supaya memberi penilaian semula terhadap tanah di Kampung Sungai Baru dan tidak mengikut kadar harga yang telah ditetapkan sewaktu era kerajaan PN.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan pendirian berhubung isu ini dan apakah mereka setuju dengan nilai tanah yang ditetapkan jurunilai kerajaan.

Katanya, jika kerajaan perpaduan meneruskan dengan nilai yang telah ditetapkan kerajaan PN sebelum ini, mereka akan dikenang sebagai "perompak" harta rakyat di Kampung Sungai Baru.

"Kita nak diberi keadilan, kerajaan kena perbetulkan kenapa jadi begini. Kalau Menteri Wilayah dan perdana menteri kata itu harganya, kita nak tahu pendirian kerajaan.

"Kalau kerajaan kata pergi mahkamah, kerajaan tak boleh lepas tangan, kerajaan yang bagi penilaian yang rendah, jika itu dirasakan adil, cakap, kita nak dengar, kalau tak adil cakap.

"Kenapa perdana menteri nak pertahankan keputusan yang dibuat oleh kerajaan PN. Dalam kes ini Annuar Musa diam, Shahidan Kassim diam, PN pun diam," katanya pada sidang media di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Zaliha berkata majlis pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru akan dilaksanakan akhir tahun ini dengan kerja-kerja pembinaan bermula suku pertama 2025.

Dia berkata pihaknya sudah bertemu dengan kedua-dua pihak di bangunan pejabat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan mendengar dengan teliti setiap penjelasan serta harapan yang disuarakan.

Bagaimanapun katanya, setelah pertimbangan dibuat, dia berpandangan kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

"Antara asas-asas pertimbangan adalah apabila diperhatikan urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah adil berasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah dan pemberian tambahan pampasan diberikan di antara 10 hingga 15 peratus oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

"Malahan golongan minoriti sudah diberikan penempatan sementara, dan juga pernah diberikan peluang yang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan yang lebih besar, selesa, dan nilai jaminan (guaranteed value) yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjiandengan pihak pemaju," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Sungai Baru, Lele Suzana Kudari dalam sidang media bersama Khalid berharap Zaliha dapat memberi maklum balas daripada hasil pertemuan mereka Mei lalu.

"Pada pertemuan itu kita minta kerajaan kaji semula kadar nilaian tanah, penyelesaian dibuat di luar mahkamah kerana pemilik tanah tetap alamai kerugian jika dibawa ke mahkamah.

"Kita juga minta supaya pemilik dibenarkan tinggal di sini sehingga pemaju dapat kelulusan pelan kebenaran merancang (DO) dari DBKL serta sediakan rumah PPR kepada pemilik yang dapat pampasan sedikit.

"Baangkan kalau dapat pampasan sikit RM280,000, bila dibahagikan kepada adik-beradik, beberapa yang tinggal," katanya lagi.