Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pegawai Hilman disabit kesalahan rogol, 13 tahun penjara

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mensabitkan kesalahan terhadap seorang bekas pembantu Adun Gombak Setia Hilman Idham atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah hotel lebih tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Zulfahimin Mahdzir sudah merayu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan ke atasnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, antara 1 pagi dan 3 pagi pada 5 Dis 2020.

Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasnah Ab Razak memutuskan bahawa pembelaan tertuduh tidak mempunyai merit dan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Dalam alasan penghakiman bertulis penuh yang dikeluarkan minggu lepas, dia berkata tertuduh gagal menyangkal keterangan saksi pendakwaan berhubung kejadian yang didakwa.

Hakim perbicaraan menambah bahawa hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan adalah wajar kerana ia merupakan kesalahan "serius dan keji".

Nor Hasnah berkata mahkamah memandang serius bahawa tertuduh didakwa telah mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika dia dalam keadaan mabuk.

Pada 31 Mei lalu, Zulfahimin didapati bersalah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, dia segera membuat rayuan.

Tertuduh diwakili oleh firma guaman Kit & Associates.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Zilfinaz Abbas dan Fazeedah Faik.

[Baca laporan asal]