Skip to main
Logo Malaysiakini

Hamas: Syarat baru Netanyahu lengahkan gencatan senjata di Gaza

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kumpulan Hamas pada Isnin menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghalang usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

"Netanyahu sekali lagi kembali kepada strategi melengahkan, menunda dan mengelak dengan menetapkan syarat dan tuntutan baru," dakwa Hamas dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu berkata mereka telah dimaklumkan oleh pihak perantara mengenai dokumen Israel yang dibentangkan semasa mesyuarat di Rom, Itali terhadap usaha mencapai perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan.

Syarat baru Netanyahu "mengandungi penarikan balik apa yang telah disampaikan oleh perantara sebelum ini," katanya, tanpa memberi butiran lanjut mengenai syarat itu.

Pada Ahad, ketua Mossad Israel David Barnea, Pengarah CIA William Burns, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan ketua perisikan Mesir Abbas Kamel bertemu di Rom untuk membincangkan usaha bagi gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tawanan.

Media melaporkan bahawa syarat baru Israel termasuk mekanisme menyaring penduduk Palestin yang kembali ke utara Gaza, mengekalkan tentera di sepanjang kawasan sempadan Gaza-Mesir yang dikenali sebagai Koridor Philadelphi dan menerima senarai nama tawanan Israel yang akan dibebaskan terlebih dahulu.

Perbincangan tidak langsung antara Israel dan Hamas dengan Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir bertindak sebagai perantara gagal mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata yang berkekalan.

Setakat ini, usaha oleh ketiga-tiga negara untuk menjadi pengantara perjanjian antara Israel dan Hamas terhalang oleh penolakan Netanyahu terhadap seruan Hamas untuk menghentikan permusuhan.

Mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, Israel menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak 7 Okt.

-Bernama