Skip to main
Logo Malaysiakini

Chegubard bebas tahanan reman

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang ditahan reman berhubung pendedahannya mengenai dakwaan rasuah membabitkan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibebaskan petang tadi.

Peguamnya, Mohd Rafique Rashid Ali mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Chegubard dibebaskan oleh IPD Putrajaya, pada pukul 3 petang tadi," katanya.

Menurutnya, penahanan reman tersebut yang bermula semalam berakhir hari ini dan siasatan polis adalah berkaitan Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 233 Akta SKMM 1998.

Pada 22 Julai lalu, Badrul menyiarkan dokumen sulit di Facebook yang didakwa diterimanya pada 15 Julai lalu.

Dokumen itu yang didakwa ditandatangani oleh Panglima TLDM Abdul Rahman Ayob dialamatkan kepada Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia didakwa mengandungi aduan mengenai calon "pilihan pihak tertentu" untuk menggantikan Rahman yang akan bersara tidak lama lagi.

Badrul mendakwa dokumen itu menunjukkan bagaimana individu itu terlibat dalam beberapa kes rasuah, termasuk perjanjian pemerolehan bernilai RM45 juta.

Pada 24 Julai lalu, Badrul mendakwa dia menerima ugutan berhubung pendedahannya.

Pemimpin Bersatu itu kemudian berkata dia telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin.

Pada 26 Julai, dia berkata sekumpulan anggota polis mengunjungi kediamannya untuk meminta dia hadir di IPD Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata polis menyiasat bagaimana Badrul memperoleh dokumen itu.