Skip to main
Logo Malaysiakini

PMO kecam Instagram padam gambar Anwar bersama Ismail Haniyeh

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam pemilik Instagram, Meta kerana menurunkan gambar di akaun milik Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada Mei lalu.

Dalam kenyataannya, bahagian Media & Komunikasi Strategik memaklumkan tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.

"Sehubungan itu, kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini dan mendesak Meta memohon maaf," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Instagram pula memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi "simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya".

PMO turut mengongsikan makluman Instagram itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada 14 Mei lalu, Anwar yang dalam rangka kerja di Doha, Qatar sempat meluangkan masa untuk bertemu Ismail Haniyeh dan Khaled Marshal.

Pada pertemuan singkat itu, perdana menteri menzahirkan ucapan takziah atas kematian ahli keluarga Ismail yang dibom rejim Zionis.

Mereka termasuk tiga anaknya, Hazeem, Amir, dan Mohamad, serta empat cucunya.

Bagaimanapun, hari ini, Ismail pula dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas kediamannya di Tehran, Iran.

Dia dikatakan berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu.

Ini bukan kali pertama hantaran oleh pihak Malaysia yang memaparkan Hamas diturunkan.

Hantaran berkenaan pertemuan Anwar dengan Ketua Biro Politik Hamas itu sebelum ini turut diturunkan. Namun ia dikembalikan kemudiannya, dengan Meta menyatakan ia "diturunkan secara silap".