Oraco ambil alih projek tanam semula: Orang Asli kurang dirunding - aktivis
Masyarakat Orang Asli di Pahang tidak dirujuk dengan sewajarnya sebelum sebuah syarikat milik kerajaan mengambil alih projek penanaman semula yang sebelum ini diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Ini menurut aktivis Orang Asli Eliana Tan yang kesal terhadap keputusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan kerajaan Pahang berhubung perkara itu.
Katanya beberapa program Tanam Semula Komersial (TSK) penduduk kampung telah pun diambil alih oleh Perbadanan Orang Asli Pahang (Oraco).
Dia berkata ini walaupun mereka membantah kerana tidak mengikut prinsip persetujuan bebas, telus dan termaklum serta melanggar hak Orang Asli untuk menentukan nasib sendiri.
Eliana, yang berketurunan Jakun berkata Jakoa dan kerajaan negeri dilihat kurang serius dalam mengiktiraf hak tanah adat anak negeri dan sebaliknya sibuk menubuhkan badan tujuan khas untuk mengurus dan membangunkan tanah Orang Asli.
Dia juga kecewa dengan Jakoa kerana bersetuju membenarkan Oraco mengambil alih TSK dan Program Tanam Semula Berkelompok (TSB) tanpa proses sewajarnya dengan masyarakat setempat.
“Jakoa dan kerajaan negeri sebaliknya perlu mempercepatkan pewartaan tanah dan wilayah adat Orang Asli dan menghormati hak kami sebagai orang pertama tanah ini,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.
“Oraco dikatakan sebuah syarikat milik kerajaan negeri tetapi bagi saya, ia lebih menjurus kepada kepentingan perniagaan kerana ia adalah syarikat sendirian berhad dan kita tidak tahu tujuan dan siapa yang terlibat dalam pelaksanaannya,” katanya lagi.
Sebelum ini, dilaporkan Jakoa telah meminta Risda membantu membangunkan tanah di penempatan Orang Asli kira-kira 30 tahun lalu tetapi Oraco telah diminta untuk mengambil alih projek TSK dan TSB Risda.
Dalam ucapan yang tular di media sosial, Ketua Pegawai Eksekutif Oraco Muhammad Olian Abdullah menafikan syarikat itu telah mengambil alih tanah Orang Asli dan hanya menguruskan projek "terbengkalai" oleh Risda selepas dikatakan 'lepas tangan' kerana tidak dapat membayar tunggakan cukai RM78 juta kepada kerajaan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad sejak itu menjelaskan isu cukai telah lama diselesaikan.
Sementara itu Pengerusi Risda Manndzri Nasib berkata dia terkejut dengan kenyataan Olian kerana projek tersebut melibatkan persefahaman antara Risda dan kerajaan negeri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai