Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA gesa siasat sistem kamera pengawasan hospital

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan sistem pengawasan hospital kerajaan tidak selamat dan boleh mendedahkan pesakit yang tidak berpakaian.

Ini susulan laporan Malaysiakini yang mengetengahkan kebimbangan dibangkitkan oleh pekerja Hospital Sungai Buloh yang mendakwa kamera itu berada di jabatan kecemasannya.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata dakwaan itu serius kerana membabitkan hak privasi pesakit dan menuntut maklum balas daripada kerajaan.

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat perkara itu.

"Menghormati privasi pesakit dalam penjagaan kesihatan tugas murni yang menyokong kepercayaan dan integriti profesion perubatan," katanya pada satu kenyataan.

Beberapa kakitangan hospital mendakwa akan membunyikan penggera pada sistem pengawasan di unit trauma jabatan kecemasan ketika kakitangan perubatan melakukan prosedur menyelamatkan nyawa pesakit.

Dalam keadaan sedemikian, pakaian pesakit ditanggalkan.

Dakwa mereka lagi siaran langsung yang tidak selamat itu dipaparkan pada monitor yang boleh dilihat oleh kakitangan yang tidak berkaitan dan pesakit lain.

Gambar hiasan.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan itu.

Sementara itu, Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR) berkata hospital kerajaan harus mempunyai amalan yang baik dalam mengendalikan data peribadi.

Ketua strategi hak asasi manusianya Firdaus Husni berkata mesti ada prosedur yang jelas untuk mengendalikan kamera dan video rakaman.

“Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 hanya terpakai kepada transaksi komersial. Ia tidak terpakai kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

“Walau bagaimanapun, ini tidak boleh dianggap bahawa agensi kerajaan tidak perlu mematuhi piawaian dan amalan baik yang diperlukan dalam pengendalian data peribadi.

"Hospital kerajaan mempunyai kewajipan menjaga pesakit mereka untuk melindungi data, maruah dan keselamatan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata prinsip yang mesti dipatuhi hospital kerajaan termasuk memberi notis kepada pesakit tentang kewujudan, operasi dan tujuan rakaman itu.

Rakaman itu juga tidak boleh digunakan untuk tujuan selain daripada apa yang dinyatakan dan akses mesti dihadkan untuk mengurangkan risiko penyalahgunaan, tambahnya.

[Baca berita asal]