Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua PKR S'wak bidas GPS, ungkit dakwaan beli undi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Ketua PKR Sarawak Roland Engan mengungkit dakwaan lama Gabungan Parti Sarawak (GPS) - dan pendahulunya BN Sarawak - terbabit dalam pembelian undi semasa pilihan raya negeri itu.

Ini selepas pemimpin GPS Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar bawah) menggesa PKR supaya tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri akan datang.

Roland berkata parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan gabungan persekutuan pasti akan menjalankan kempen bersih dalam pilihan raya Sarawak.

"Di bawah kerajaan perpaduan dan Malaysia Madani, sewajarnya pilihan raya Sarawak bakal menyaksikan pilihan raya paling bersih nanti di mana setiap calon dengan mudah mematuhi had maksimum perbelanjaan RM100,000 sahaja.

"Ini adalah kerana calon-calon daripada parti-parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan dan menyokong Malaysia Madani sudah pasti bersikap bersih dengan bekerjasama dengan pihak SPR dan SPRM melawan politik wang"," katanya pada satu kenyataan.

GPS dan BN Sarawak pada masa lalu telah berulang kali dituduh melakukan pembelian undi semasa pilihan raya, satu pertuduhan yang berulang kali dinafikannya selama ini.

Pada pilihan raya negeri lepas, GPS mengekalkan majoriti kerusi DUN terbanyak di negeri itu dengan menggondol 76 kerusi.

Sementara itu, PH hanya menang dua kerusi DUN berbanding 10 kerusi yang dimenangi pada 2016.

Dua kerusi DUN yang dimenangi PH pada 2021 itu milik DAP manakala PKR kalah kerusi yang dikuasainya sebelum ini.

Semalam, Abdul Karim berkata penglibatan PKR dalam pilihan raya Sarawak akan datang boleh menjejaskan kestabilan gabungan persekutuan.

Dia berkata memandangkan PKR tidak mempunyai kerusi di Sarawak buat masa ini, maka tidak ada keperluan untuk parti itu mencabar keseimbangan parti di negeri itu.

Dalam pada itu, Roland berkata walaupun dia menghargai semua pandangan mengenai penyertaan PKR dalam pilihan raya Sarawak namun terdapat perkara lain selain status quo semasa yang perlu dipertimbangkan.

"Saya lebih suka melihat pada faktor sama ada hak dan kebajikan rakyat Sarawak dibela dengan baik atau tidak, sebelum membuat keputusan bertanding dalam pilihanraya Sarawak.

"Apa guna perpaduan dan kestabilan jika hak dan kebajikan rakyat diabaikan sewenang-wenangnya?

"Pada hemat saya, jika semua pihak saling menghormati dan saling menyuburkan demokrasi serta tidak mengamalkan politik dendam kesumat, penglibatan dalam pilihan raya Sarawak tidak patut dianggap secara serong sebagai berpotensi menggugat kerajaan perpaduan," katanya lagi.