Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC 'terlepas' banyak hal dalam perakaunan HRD - bekas COO

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlepas "banyak perkara" dalam perkara berkaitan akaun HRD Corp, kata bekas ketua pegawai operasinya (COO) Ariff Farhan Doss.

Ariff dipetik wawancara eksklusif The Edge berkata ini termasuk "pengolahan berbeza" yang diberikan terhadap laporan audit 2023 syarikat, berbanding laporan diaudit 2020 dan 2021.

"Pengkategorian item baris yang berbeza seperti penggunaan dana, keuntungan yang disimpan, pendapatan - pada tahun-tahun sebelumnya, ini pernah diasingkan, tetapi, di sini (dalam laporan 2023) ia disatukan - item satu baris.

"Pengolahan itu menjadikannya lebih kabur, lebih sukar untuk dianalisis. Lihat pada (laporan audit) 2021/2022 dan lihat betapa berbezanya ia dilaporkan," kata Ariff.

Menurutnya, PAC tidak menangani perkara berkenaan kerana ia tidak mempunyai kepakaran untuk berbuat demikian.

"PAC kebanyakannya ahli politik - Jabatan Audit Negara harus menyoal (hal ini). PAC tidak mempunyai sumber untuk menyiasat, tetapi Jabatan Audit ada dan lebih terperinci," tambah Ariff.

Ariff juga berkata "pelik" untuk HRD menunjukkan surat yang dikatakan daripada Bank Negara pada 2010, mengenai keputusan bank pusat itu untuk menarik wakilnya daripada panel pelaburan syarikat itu.

Perlu diingat bahawa PAC telah menekankan ketiadaan wakil Bank Negara dalam panel pelaburan HRD sejak 2017 adalah melanggar undang-undang.

"Gabenor Bank Negara telah bertukar beberapa kali; anda tidak menemui sebab untuk kembali apabila ada gabenor baru dan bertanya tentang keputusan sebelumnya pada 2010.

“Jadi sangat pelik bahawa mereka (HRD Corp) kini menunjukkan sebagai bukti surat yang diluluskan pada 2010. PAC tidak nampak itu – mereka tiada surat untuk ditunjukkan (semasa prosiding PAC).

"Saya tidak melihat surat itu, jadi saya tidak boleh mempersoalkan (kesahihannya), tetapi sangat pelik bahawa semasa (prosiding) PAC, ia tidak dibangkitkan," kata Ariff sambil mendakwa urusan itu akan terus ditutup.

Pinda akta

Sepanjang wawancara The Edge, Ariff menegaskan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001 "sangat lemah" dan membuka ruang penyalahgunaan, seperti keputusan pelaburan dibuat tanpa kelulusan panel pelaburan.

Menurutnya, ahli lembaga pengarah yang dilantik oleh menteri, hampir tidak menyoal atau membantah cadangan pelaburan yang dibentangkan oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) Shahul Hameed Shaik Dawood selepas dia berkata mereka mendapat lampu hijau daripada menteri.

Kelemahan undang-undang juga membolehkan HRD Corp melabur wang tanpa kelulusan lembaga pengarah, kata Ariff.

"Apabila (firma lain) mahu melabur, mereka perlu mendapatkan kelulusan... HRD Corp adalah sebuah syarikat dan akta mengatakan mereka boleh melabur. Panel pelaburan tidak perlu memaklumkan kepada lembaga melainkan lembaga memintanya," katanya.

Ariff juga bercakap mengenai perbelanjaan HRD Corp, menyifatkan contoh RM10 juta yang dibelanjakan untuk persidangan tahunan sebagai "jumlah wang yang tidak masuk akal" untuk dibelanjakan terhadap sebarang acara.

Ariff yang lantang bersuara mengenai hal ehwal berkaitan HRD Corp sejak "pemberhentiannya" daripada syarikat itu pada 15 Mei, turut mendedahkan dia kini mengupah pengawal peribadi.

"Orang ramai berkata saya memerlukan [pengawal peribadi]; jadi, saya berhati-hati... perlu berhati-hati. Saya tahu lebih banyak [daripada apa yang telah muncul]."

Ariff berpendapat HRD Corp akan lebih berhati-hati untuk melakukan apa yang didakwa sebagai 'urus niaga tidak jujur' sekarang memandangkan tumpuan media terhadap mereka tetapi berkata ia akan terus berlaku selagi Akta PSMB 2001 tidak dipinda.

HRD Corp katanya mesti memastikan campur tangan minimum oleh menteri dalam hal ehwal organisasi.

“Walaupun anda memberi kuasa kepada menteri, menteri mesti berhati-hati untuk tidak mengetepikan keputusan yang dibuat oleh lembaga... kerana, jika tidak, tiada makna untuk mempunyai lembaga pengarah.

"Seterusnya, anda tidak boleh mengecualikan lembaga daripada tanggungjawab. Tidak mungkin jika anda mempunyai panel pelaburan, maka anda tidak perlu mendapatkan kelulusan; kerana panel yang berbeza boleh membuat keputusan dan hanya memaklumkan kepada lembaga apabila mereka bertanya.

"Apabila lembaga pengarah tidak tahu apa yang panel pelaburan lakukan, adakah mereka akan meminta maklumat? Sesuatu yang tidak betul di sana juga," katanya.

Pun begitu di sebalik rungutannya, Ariff berkata tugasannya di HRD Corp telah membolehkannya menerima kurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk dan rangkaian hubungan perniagaan yang lebih luas dalam semua sektor.