Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah tidak ada kuasa dengar kes saman MP Labuan - Bersatu

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bersatu berhujah mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran Suhaili Abdul Rahman berhubung pemberhentian keahliannya.

Parti pembangkang membangkitkan perkara ini dalam permohonannya untuk membatalkan saman ahli Parlimen Labuan itu.

Suhaili salah seorang daripada enam bekas ahli parlimen Bersatu yang statusnya sebagai ahli parlimen dipersoalkan tetapi dibenarkan mengekalkan kerusi mereka oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Suhaili Woo J Enn peguam parti politik itu Chetan Jethwani mengesahkan Bersatu memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, Bersatu merujuk kepada Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Peruntukan itu menyatakan keputusan parti politik berdasarkan peraturannya muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Bersatu menegaskan Suhaili tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk menyaman kerana plaintif bukan lagi anggota parti itu.

"Tuntutan plaintif adalah mengaibkan dan/atau remeh dan/atau menyusahkan.

‘Sokong PM bukan keluar Bersatu’

"Tuntutan plaintif adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah untuk mencapai suatu motif tersembunyi," kata Bersatu.

Pada 5 Julai, Suhaili memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pemecatannya daripada Bersatu.

Plaintif mendakwa ini hanya berlaku apabila dia menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kata Suhaili dia dinafikan hak untuk didengar dan dilucutkan haknya untuk keadilan prosedur.

"Plaintif menegaskan Bersatu telah mengabaikan usaha-usaha dan dedikasi yang ditunjukkan olehnya kepada Bersatu dengan mencurahkan usahan-usahanya pada PRU lalu untuk memastikan kemenangan Bersatu di Labuan.

"Tanpa sumbangan-sumbangan dan usaha-usaha plaintif, Bersatu tidak akan memperolehi kerusi Labuan dan akan kekurangan satu kerusi di Parlimen.

"Dengan menggantung plaintif secara salah di sisi undang-undang, Bersatu telah menafikan haknya sebagai seorang ahli parlimen untuk menyatakan pandangannya secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Pada setiap masa yang material, Plaintif menegaskan bahawa pernyataan sokongannya kepada perdana menteri bukanlah satu tindakan yang meninggalkan Bersatu," kata Suhaili dalam pernyataan tuntutannya.

Pernyataan itu turut menyatakan, Suhaili mengisytiharkan sokongan kepada Anwar atas hasrat mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk Labuan.

"(Ekoran pemecatan daripada Bersatu) Plaintif telah mengalami kerugian dan kerosakan dan telah menghadapi penghinaan," katanya lagi.

Suhaili menuntut beberapa relif, termasuk pengisytiharan bahawa pemecatannya salah di sisi undang-undang dan tidak sah.

Dia turut menuntut ganti rugi am, punitif dan teladan, serta bayaran balik penuh yuran keanggotaan seumur hidupnya kepada Bersatu.

Defendan tindakan sivil itu disenaraikan sebagai Muhammad Suhaimi Yahya atas kapasiti pegawai awam Bersatu.

Firma guaman Chetan Jethwani & Company mewakili Bersatu.

Sementara itu firma guaman Firoz Julian bertindak bagi pihak Suhaili.

[Baca berita asal]