Skip to main
Logo Malaysiakini

Platform media sosial tak berlesen boleh dipenjara, denda

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Platform media sosial yang gagal mengambil lesen pada 1 Jan tahun depan boleh dihukum denda dan/atau penjara jika mereka terus beroperasi di Malaysia, jelas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini.

Dia menjelaskan jika Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform tidak berlesen.

"Pada waktu ini, yang kita tetapkan adalah tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi Multimedia.

"Sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya.


BACA: Lesen media sosial tak libatkan pengguna, pempengaruh - Fahmi


"Dan boleh dikenakan denda RM1,000 untuk setiap hari ataupun sebahagian dari hari tersebut selagi mana the offence ataupun kesalahan itu berterusan," kata Fahmi kepada pemberita pada sidang media di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Rangka kerja kawal selia baru untuk media sosial dan penyedia perkhidmatan pemesejan internet berkuat kuasa hari ini.

Penyedia perkhidmatan mempunyai tempoh sehingga 31 Dis untuk mendaftar sebelum pelaksanaan pelesenan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan menutup platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet tidak berlesen pada 1 Jan 2025.

Sementara itu, Fahmi berkata sesi libat urus bersama ahli parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) telah diadakan.

Sesi itu akan diteruskan untuk memastikan rakyat Malaysia memahami langkah kerajaan, terutamanya kerana ia berlandaskan perlembagaan, katanya.

"Kita nak satu suasana yang lebih baik terutama memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua yang dijemput ke sesi libat urus itu menghadirkan diri, katanya.

Sekitar 79 badan telah dijemput, tetapi hanya 27 yang hadir termasuk Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Majlis Peguam, Artikel 19, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Justice for Sisters dan Legal Dignity.

Kata Fahmi, parti Muda dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) tidak hadir.

Katanya, tindakan kerajaan itu bertujuan untuk membendung penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seks terhadap kanak-kanak.

Menurut taklimat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, rakyat Malaysia kerugian lebih RM500 juta akibat penipuan dalam talian di Facebook sahaja pada tahun lepas, katanya.

Langkah itu tidak akan menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan, katanya.

[Baca berita asal]