Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawan diabetes: Kerajaan kurangkan gula dalam acara, mesyuarat

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Mengambil kira bilangan kes kencing manis atau diabetes yang membimbangkan di Malaysia, kerajaan telah memutuskan untuk mengurangkan penggunaan gula dalam acara dan majlis.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata gula akan dikurangkan sebanyak 50 peratus manakala minuman akan dihidangkan tanpa gula.

"Salah satu ikhtiar pihak kerajaan yang bermula hari ini, Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa semua acara kerajaan ke depan akan mengurangkan penggunaan gula sebanyak 50 peratus dan semua minuman akan disediakan secara gula tidak dimasukkan.

"Jadi kita akan kurangkan penggunaan gula dalam semua acara kerajaan termasuk mesyuarat-mesyuarat," katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Dia berkata diabetes berleluasa pada kadar 3.2 peratus bagi rakyat Malaysia berumur 18 hingga 29, 6.5 peratus bagi 30 hingga 39, 15.2 peratus bagi mereka yang berumur 40 hingga 49, 28.8 peratus bagi 50 hingga 59 dan 38 peratus bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Statistik itu adalah daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 Kementerian Kesihatan.

"Bermaksud masalah kecing manis ataupun diabetes adalah masalah penyakit tidak berjangkit non-communicable disease yang perlu ditangani secara menyuruh," kata Fahmi.

Menteri itu juga bertanya kepada petugas media yang hadir sama ada minuman yang dihidangkan kepada mereka sebelum sidang media itu terasa manis.

"Manis sangat? Baik. Jadi tak apa, saya baru umumkan. Jadi insyaAllah bermula minggu depan, dia manis di senyuman bukan di minuman,” tambahnya.

Semalam, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan sedang dalam usaha menaikkan cukai ke atas minuman manis gula kepada 20 peratus sebagai sebahagian daripada kempen "perang terhadap gula".

Menurut laporan itu, Malaysia mempunyai duti eksais ke atas minuman manisan gula, khususnya minuman manis berbungkus sedia untuk diminum seperti minuman dengan gula melebihi 5g setiap 100ml dan jus buah-buahan atau minuman berasaskan sayuran dengan lebih 12g gula setiap 100ml.

Ini termasuk minuman ringan, minuman sukan, minuman tenaga, teh atau kopi manis, susu berperisa, jus buah-buahan, serta sirap dan perisa pekat.

Walau bagaimanapun, cukai gula semasa tidak digunakan untuk minuman yang baru dibancuh.