Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Kembalikan kegemilangan UIA dengan rektor tepat

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak menyempurnakan tugasnya sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ke-6 pada 31 Julai lalu.

Sudah tentu ada yang boleh dibincangkan daripada pencapaian beliau sepanjang enam tahun mengetuai pengurusan eksekutif UIA.

Perkara 27 (1A) Perlembagaan UIA menetapkan seseorang rektor hanya boleh menyandang jawatan itu maksimum enam tahun sahaja.

Saya tidak berhasrat menilai apa yang telah dicapai dan ruang penilaian pada perkara yang beliau telah laksanakan. Ia mungkin pada ruang lain atau ruang yang berbeza.

Namun, dengan segala proses pemilihan oleh semua pihak yang berminat menjadi bakal tuan rektor UIA, ada beberapa perkara yang perlu diketahui dan diperbaiki oleh bakal kepimpinan baru setelah pudar tiang-tiang asas atau identiti penubuhan pusat pengajian itu dalam beberapa ketika.

Pertama: Rektor UIA yang baru perlulah memahami, menghargai dan melaksanakan tiga DNA misi utama universiti ini iaitu Islamisasi (Islamization), integrasi (integration) dan pengantarabangsaan (internationalisation).

Kedua: Islamisasi, integrasi dan pengantarabangsaan adalah tiga tiang utama Misi UIA yang sudah kehilangan seri dan semangatnya, serta tenggelam timbul dalam aplikasi dan tindakan sama ada dalam polisi/dasar atau penjelmaan dalam sudut akademia.

Maka rektor baru UIAM perlu bingkas bertindak tangkas memastikan tiga unsur utama misi tersebut tidak hanya indah ditulis di atas kertas tetapi tiada sebarang tindakan yang dilaksanakan.

Ketiga: memastikan partisipasi dan sumbangan pelbagai pihak, serta terbuka menerima apa sahaja ruang kerjasama yang baik selama ia selari dengan prinsip Islam yang murni melalui konsep DEI (diversity, equity and inclusion).

Keempat: berfikir dan bertindak secara global serta mengalu-alukan kehadiran pelajar dan tenaga pengajar akademik antarabangsa.

Peluang mungkin disia-siakan

Layanan, polisi dan ucapan yang kurang mesra kepada penglibatan khidmat antarabangsa perlu diperbaiki.

Keistimewaan UIA sejak hari pertama ia ditubuhkan adalah kerencaman bangsa dan kewarganegaraan yang wujud dalam tubuh univeristi tersebut.

Kurang meraikan kewujudan itu seakan-akan membunuh identiti UIA secara perlahan-lahan.

Kelima: kembali fokus dan memberikan lebih perhatian kepada keistimewaan khusus (niche area) yang sekian lama dijuarai UIA.

Banyak kemampuan khusus UIA semakin kurang diberikan sokongan dari aspek polisi dan pendanaan. Sebagai contoh, keterbukaan kefahaman dan aliran agama melalui Masjid UIA sangat mendukacitakan.

Peluang mengubah pengurusan kepada yang lebih energetik dan terbuka secara akademik disia-siakan apabila pengurusan sedia ada disambung perkhidmatannya.

Termasuk juga dalam aspek ini ialah kepakaran khas debat tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Arab - oleh para pelajar yang kurang mendapat sokongan dan dukungan pengurusan utama universiti berbanding lebih 10 tahun lalu.

Keenam: meluaskan hubungan baik dan strategik dengan organisasi antarabangsa khususnya dalam kalangan dunia Islam, serta memanfaatkan para alumni terkemuka di seluruh dunia untuk memberikan faedah optimum kepada kecemerlangan dan kebajikan universiti.

Kesimpulannya, Dzulkifli telah melangsaikan amanah yang digalas beliau selama enam tahun yang lalu. Banyak yang boleh dipelajari, diteruskan dan tidak kurang yang perlu diperbaiki.

Watak baru yang energetik, mengambil kira aspek manusiawi, memperkukuh kebajikan warga Taman Ilmu dan Budi dengan sangat serius adalah diperlukan.

Ia tidak boleh menjadi sekadar polisi lisan tanpa realisasi serta memahami jiwa asal penubuhan UIA dengan mengambil berat enam perkara utama yang dinyatakan di atas.

Ia adalah suatu keperluan yang sangat mendesak.

Kepada para pembuat dan pengambil keputusan untuk memilih rektor baru UIA, jadikanlah asas masa depan dan kualiti Taman Ilmu dan Budi ini sebagai perhatian khusus kalian.

Jangan semata-mata pertimbangan itu dan ini (yang kalian sahaja tahu) dan pada akhirnya memangsakan warga pelajar, staf sokongan dan tenaga akademik UIA.

Kembalikan kegemilangan UIA dengan memilih rektor yang tepat dan terbaik untuk institusi kesayangan ramai ini.


ABU HAFIZ SALLEH HUDIN ialah kakitangan akademik UIA dan alumni universiti tersebut. Dia juga merupakan penasihat khas

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.