Skip to main
Logo Malaysiakini

Jamaliah: Kuota, garis masa perlu untuk angkat pemimpin wanita

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Memegang portfolio alam sekitar dan kesihatan di negeri terkaya di Malaysia, Jamaliah Jamaluddin sedar yang pada usia 35 tahun, dia menjadi suri teladan kepada pemimpin wanita muda di negara ini.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Exco Selangor itu menyuarakan sokongan terhadap dasar kuota untuk pemimpin wanita, namun pelaksanaannya perlu ada garis masa yang khusus.

"Sebagai pemimpin wanita, apabila kita melihat calon, kaedah lama hampir pasti akan memilih lelaki Melayu. Secara peribadi, saya setuju dengan kuota tetapi dengan garis masa.

"Setiap kuota perlu ada rancangan menyeluruh. Jika tidak, ia akan tidak berkesan dan aspek merit akan diabaikan. Jadi apabila menetapkan kuota, kita perlu praktikal dan ia perlu seiringan dengan program yang menyediakan calon yang layak," katanya.

Pada Jun lalu, Wanita DAP melancarkan inisiatif HerLead sebagai platform untuk parti itu memilih wanita yang berpotensi menjadi calon dalam PRU16.

"Harapannya agar ia akan secara sistematik mewujudkan bakat-bakat yang akan membantu memastikan kita ada pemimpin wanita berkebolehan yang bersedia untuk pilihan raya atau mana-mana jawatan kepimpinan.

"Baru-baru ini, parti memilih 32 daripada 60 pemohon wanita untuk latihan dengan tujuan secara sistematik melahirkan pemimpin masa depan.

"Ini bagi memastikan kita mencapai kuota tanpa meminggirkan kualiti. Sebagai contoh, jawatankuasa pusat DAP ada kuota 30 peratus untuk wanita, yang telah dipenuhi. Ini termasuk pemimpin muda seperti saya," katanya yang pertama kali menang pilihan raya di DUN Bandar Utama pada 2018, ketika berusia 29 tahun.

"Ketika membesar, saya tidak lihat ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Dan kini, sebagai pemimpin, saya sedar pentingnya untuk memberdaya orang lain. Sudah beberapa tahun saya melatih mentee, menyediakan platform untuk wanita menjadi pemimpin di pelbagai sektor," katanya lagi.

Jamaliah lahir di Hunan, China dan merupakan anak tunggal kepada DJ radio dan penulis politik Jamaluddin Ibrahim. Dia juga cucu kepada Shamsiah Fakeh, bekas ketua sayap wanita (Awas) Parti Kebangsaan Melayu Malaya serta kemudiannya anggota Parti Komunis Malaya yang melawan penjajahan Inggeris.

Reformasi perlukan masa

Jamaliah mengendalikan pusat khidmat dengan pekerja parti dan sukarelawan yang giat menyumbang untuk inisiatif akar umbi, terutama berkaitan alam sekitar dan kesihatan - portfolio yang dipegangnya.

Dia tidak menafikan yang pengundi PH kecewa dengan apa yang dilihat sebagai kegagalan kerajaan melaksanakan reformasi yang bermakna. Dia mengakui turut merasakan kekecewaan itu, namun pada masa sama cuba melakukan apa yang termampu.

"Saya faham orang nak perubahan yang cepat. PH dan kerajaan perpaduan diundi dengan harapan untuk melaksanakan perubahan ini, dan ini penjelasan yang boleh diterima.

"Apa yang kita juga perlu ingat adalah perubahan turut memerlukan garis masa yang praktikal dan realistik.

"Sementara ramai rakyat, termasuk sebahagian ahli politik, mengharapkan perubahan segera, kita perlu faham dalam masyarakat yang kompleks, perubahan bermakna perlukan masa dan keputusan yang dibuat perlu mengemudi masyarakat yang rumit dan rencam," katanya.

Katanya lagi, pemimpin DAP dan PH cuba untuk bertindak secara cermat dan menimbang waktu yang sesuai untuk pelaksanaan dasar.

"Ada usaha untuk mengangkat dasar-dasar tertentu. Namun, kritikan dan pandangan yang berbeza merumitkan keadaan.

"Sebahagian dasar, seperti yang berkaitan dengan hukuman mati, berdepan tentangn ekoran persepsi awam yang berbeza dan landskap politik yang rumit.

"Namun ini tidak bermakna tiada apa yang dibuat, dengan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan moratiorium hukuman adalah langkah ke arah perubahan itu."

Dilema pelbagai kaum DAP

Walaupun menjadi parti pelbagai kaum, DAP sering dilihat didominasi dan cenderung kepada masyarakat Cina.

Pada masa ini, DAP memiliki 40 kerusi Parlimen dan memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang dan lima menteri kabinet.

Namun kebanyakan kerusi yang dimenanginya adalah kawasan majoriti Cina dan malah ada hujah parti itu memaksimumkan peluangnya dalam demografi ini.

Pada masa sama, sejak 15 tahun lalu, DAP sudah bekerjasama dengan "seteru" seperti PAS dan kini Umno.

Jamaliah bersama anggota Umno di Konvensyen Kerajaan Perpaduan pada 2023

Adakah Jamaliah percaya terhadap langkah penjenamaan semula atau penggabungan dengan parti lain untuk memadamkan stigma masa lalu parti itu?

"Politik tak boleh diramal, boleh berubah dalam masa beberapa hari atau minggu. Saya percaya DAP terbuka untuk bergabung satu hari nanti jika ia boleh membawa kepada masa depan negara yang lebih baik.

"Namun, keputusan kami berdasarkan mengoptimumkan keadaan tanpa menggadaikan prinsip teras. Kerjasama dan perbincangan boleh diadakan...dan penggabungan adalah salah satu kemungkinan di masa depan.

"Saya merasakan pada masa ini, ramai pemimpin generasi muda, malah generasi pertengahan seperti (setiausaha agung DAP) Anthony Loke sedang berusaha untuk menyertakan lebih banyak bakat di kalangan semua kaum dalam DAP.

"Tapi pada masa sama, mereka seimbangkan dengan politik dalaman, dan mereka tidak ingin dilihat hanya memenuhkan kuota dengan orang yang tak pernah berkhidmat, sementara ada ahli veteran yang telah berkhidmat sampai 20 tahun dan berharap diberi peluang.

"Jadi sekarang, di kawasan yang dirasakan tak ada banyak bantahan, mereka akan letakkan kaum lain, orang lebih muda atau wanita. Kita saksikan ini di Kuala Kubu Bharu. Ia satu keputusan sukar tetapi kita dapat calonkan Pang Sock Tao walaupun ada tekanan daripada pihak yang berbeza," katanya lagi.

[Baca berita asal]