Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful minta pemimpin PN 'cakap benda betul di tempat betul'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan meminta kepimpinan tertinggi PN agar lebih cermat dan menyatakan "benda yang betul di tempat yang betul".

Bercakap dengan media di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini, Wan Saiful maklum ada pandangan pemimpin gabungan itu yang lebih baik dibincangkan di peringkat dalaman, bukan disuarakan secara terbuka.

"Mesyuarat PN berlaku secara berkala. Setakat pengetahuan saya, mesyuarat dibuat secara berkala dan kerap.

"Lebih penting, isu-isu dalaman mungkin lebih elok dibincang secara dalaman. Tak perlu kita bawa isu yang dibincang dalam mesyuarat untuk diumumkan.

"Benda yang patut dimesyuaratkan, mesyuaratkanlah. Benda patut diumumkan, umumkanlah. Benda yang patut dibincang secara mesra di kedai kopi, bincangkanlah di kedai kopi.

"Permintaan saya pada pemimpin PN di atas, sebut benda yang betul di tempat yang betul," kata ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau bahawa sejak penubuhan PN menjelang PRU15, ketiga-tiga parti dalam gabungan itu tidak pernah duduk berbincang berkenaan perbezaan mereka.

Cadangan Lau agar PN mengadakan mesyuarat dibuat susulan ketegangan antara Gerakan dan PAS berhubung isu penglibatan syarikat minuman keras dalam acara kutipan dana sekolah Cina.

Pada 29 Julai lalu, Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor mengulang kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang Gerakan boleh keluar dari PN jika tidak lagi selesa menganggotai gabungan itu.

Sanusi dan Mohd Amar menjawab kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan PN demi mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Pandangan berbeza

Ditanya berkenaan pandangan Bersatu berhubung respons PAS terhadap Gerakan, yang dianggap sesetengah pihak sebagai bongkak, Wan Saiful berkata ia merupakan "realiti dalam gabungan yang masih muda".

"Parti-parti yang membentuk PN ada perbezaan pandangan dan ia perlu diselaraskan untuk menjadi pegangan gabungan secara keseluruhan.

Untuk mengelakkan timbulnya tuduhan 'PAS bongkak', ini memerlukan perbincangan di peringkat atasan dan memerlukan sedikit disiplin," katanya.

Dia sekali lagi menyatakan ada perkara yang tidak perlu disuarakan secara terbuka bagi mengelakkan salah faham antara parti dalam PN.

"Saya kenal kawan-kawan dalam PAS, Gerakan dan Bersatu. Saya rasa sebenarnya tidak wujud kesombongan (oleh PAS) seperti dituduh.

"Ia hanya pandangan hati masing-masing dan menimbulkan salah faham apabila disuarakan," katanya lagi.