Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertembungan satu lawan satu di PRK DUN Nenggiri

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

LANGSUNG | Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri bermula hari ini dengan penamaan calon dibuat di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Setiap parti atau individu yang ingin bertanding diberi tempoh satu jam, bermula jam sembilan pagi, untuk menghantar borang pencalonan, sebelum nama mereka disahkan dan diumumkan sebagai calon oleh SPR.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung perjalanan proses penamaan calon hari ini.


10.30 pagi, Kompleks Perdana: Pengawai Pengurus PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud mengumumkan dua calon sah bertanding dalam PRK Nenggiri selepas proses penamaan calon selesai.

Mereka adalah Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili BN dan Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN.

Kedua-duanya akan berkempen selama dua minggu bagi menambat hati pengundi sebelum mereka membuat pilihan pada 17 Ogos ini.


10 pagi, Kompleks Perdana: Pegawai Pengurus PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud mengumumkan masa penyerahan borang pencalonan bagi PRK Nenggiri telah ditutup pada jam 10 pagi.

Nampaknya PRK ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu, apabila hanya calon PN dan BN menyerahkan borang pencalonan.


9.10 pagi, Kompleks Perdana: Calon BN, Azmawi Fikri Abdul Ghani tiba di pusat penamaan calon sekitar jam sembilan pagi.

Dia diiringi pemimpin utama Umno antaranya presiden Ahmad Zahid Hamidi, naib presiden Johari Abdul Ghani, setiausaha agung Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Ribuan penyokong turut mengiringi Azmawi ke pusat penamaan calon.



8.50 pagi, Kompleks Perdana: Calon PN Mohd Rizwadi Ismail masuk ke kawasan pusat penamaan calon sekitar jam 8.50 pagi diiringi pemimpin utama PN.

Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.

Ribuan penyokong PAS turut hadir mengiringi calon.

Pengawai Pengurus PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud mengumumkan borang penamaan calon boleh mula diserahkan bermula jam sembilan pagi.


8.30 pagi, Kompleks Perdana: Penyokong gabungan perpaduan dan PN mula berkumpul di kawasan yang telah ditetapkan di pusat penamaan calon.

Suasana masih tenang dan terkawal.


Setakat ini, BN menamakan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili kerajaan perpaduan. PN pula menamakan bekas anggota TLDM Mohd Rizwadi Ismail, 41, sebagai calon mereka.

SPR menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, dengan tempoh 14 hari kempen.

Sejumlah 579 anggota polis Kelantan dikerahkan bagi memastikan proses penamaan calon PRK Nenggiri berjalan lanjar.

Menurut laman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, cuaca dijangka cerah di sebelah pagi namun hujan lebat diramal berlaku tengah hari.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang di-Pertua DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi itu kosong, selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim dipecat daripada Bersatu.

Menurut daftar pemilih, sejumlah 20,259 pengundi layak untuk mengundi dalam PRK ini - merangkumi 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

DUN Nenggiri diwujudkan sejak PRU11 pada 2004, dengan BN menang sebanyak empat kali.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Ini merupakan PRK kesembilan sejak PRU lalu.