Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid yakin Ku Li mampu kekalkan Nenggiri kubu kuat BN

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PRK NENGGIRI | Kerusi DUN Nenggiri akan kekal sebagai kubu kuat BN di bawah kepimpinan Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Pengerusi BN itu, dia yakin calon yang ditawarkan mereka dalam PRK yang bermula secara rasmi hari ini mampu memenuhi selera pengundi setempat khususnya anak muda.

"Kita kerja dulu dan (kemudian) tawakal kepada Allah. Terima kasih kepada ketua bahagian kerana memberi peluang kepada Awi (Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani) ketua Pemuda Umno negeri dan Gua Musang.

"Beliau (Mohd Azmawi) boleh mewakili kumpulan generasi muda," katanya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, majoriti pengundi Nenggiri adalah pemilih yang berusia 40 tahun dan ke bawah.

Justeru katanya pemilihan calon muda bukan saja mampu mewakili penduduk dan pengundi Nenggiri, bahkan membawa suara generasi baru di Gua Musang serta Kelantan.

"Insya-Allah di bawah kepimpinan Ku Li kita yakin pendukung Umno dan BN akan terus beri sokongan kepada calon yang telah dicadangkan oleh pimpinan bahagian dan BN di pusat," katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Gua Musang, hari ini.

Selepas tempoh penamaan calon berakhir, pegawai pengurus pilihan raya mengesahkan hanya dua nama dikemukakan dan diterima untuk ditawarkan kepada 20,2595 pengundi berdaftar di Nenggiri.

Empat belas daripadanya adalah pengundi awal.

Selain Mohd Azmawi yang menjadi pertaruhan BN, PN pula menamakan bekas ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, sebagai calon mereka.

Mohd Rizwadi menjadi ahli Bersatu hanya beberapa hari sebelum pengumuman mengenainya dibuat baru-baru ini.

PRK Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata BN akan menjawab serta memberi penjelasan apa yang jadi isu di Nenggiri

"Insya-Allah apa yang menjadi isu utama di Nenggiri ialah isu tempatan dan isu-isu nasional - jika ada - akan diberi penjelasan oleh jentera parti di setiap peringkat.

"Yang paling penting PRK sangat signifikan kepada bukan sahaja penduduk Nenggiri atau Gua Musang, tetap Umno dan BN serta rakan dalam kerajaan perpaduan.

"Tentunya PH akan bantu kita dalam setiap gerak kerja dilakukan dan koordinasi dilakukan sebagaimana pilihan raya tempat lain (sebelum ini)," katanya lagi.