Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Selepas Nenggiri, Umno tumpu PRK DUN Mahkota

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PRK NENGGIRI | Selepas PRK DUN Nenggiri, BN akan memberi tumpuan kepada persiapan bagi menghadapi PRK DUN Mahkota di Johor pula, menurut pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

"Semalam saya telah melawat arwah (bekas Adun Mahkota Sharifah Azizah Syed Zain) sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir dan bagi pihak Umno dan BN, kita ucap takziah kepada keluarga.

"Insyallah kita akan dengar pengumuman (kekosongan kerusi) dibuat setelah Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) membuat mesyuarat.

"Kita akan siap siaga selepas Nenggiri untuk hadapi PRK Mahkota pula," katanya yang juga presiden Umno pada sidang media selepas penamaan calon PRK Nenggiri di Gua Musang, hari ini.

PRK Nenggiri diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong susulan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim dipecar daripada Bersatu.

Hari mengundi ditetapkan pada 17 Ogos ini dengan dua calon, Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili BN dan Mohd Rizwadi Ismail daripada PN akan bersaing meraih sokongan pengundi.

Semalam, media melaporkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian Sharifah Azizah.

Sharifah Azizah meninggal dunia pada 12.32 tengah hari semalam ketika dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Ketua Wanita Umno Kluang itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan akibat mengalami sesak nafas pada awal pagi Rabu lalu.