Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid terima penyertaan 480 ahli Bersatu Nenggiri

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bersatu Nenggiri didakwa lumpuh selepas 480 ahlinya bertindak meninggalkan parti itu dengan menyertai Umno, hari ini.

Penyertaan mereka disaksikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jerek, Gua Musang.

Ahmad Zahid mendakwa penyertaan mereka kedalam Umno kerana kecewa dengan tindakan PAS yang melanggar semangat setiakawan apabila meletakkan ahlinya bertanding dalam PRK kawasannya berkenaan.

"Penyertaan mereka kerana telah hilang kepercayan kepada kepimpinan Bersatu.

"Hal ini berlaku mungkin kerana mereka merasakan bahawa kerjasama antara Bersatu dan PAS di mana PAS bukan sahaja menunggang Islam tetapi menunggang rakan poitiknya Bersatu.

"Walaupun mengikut formula di mana kerusi Nenggiri dimenangi oleh parti (Bersatu) maka calon dari parti itulah yang akan bertanding tapi sebaliknya calon yang mewakili PN adalah diketahui ramai beliau adalah ahli PAS yang berhenti dari PAS semata-mata kerana mahu menjadi calon.

"Ertinya yang bertanding tetap orang PAS,” katanya selepas menerima borang kemasukan ahli baru Umno itu.

Mereka yang bertindak keluar parti bekas timbalan ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin membabitkan semua 12 cawangan Bersatu di DUN Nenggiri.

Untuk rekod kerusi DUN Nenggiri diperuntukkan pada Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Bagaimanapun Mohd Rizwadi Ismail yang juga bekas pemimpin PAS Gua Musang bertindak menyertai Bersatu dua hari sebelum pengumuman calon dibuat bagi membolehkannya bertanding.

Proses penamaan calon bagi PRK DUN Nenggiri hari ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara PAS dan BN.

PAS mempertaruhkan Mohd Rizwadi manakala BN meletakkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata tindakan calon PN Mohd Rizwadi menyertai Bersatu sekadar untuk mengelirukan penyokong parti itu, walaupun hakikatnya dia mewakili PAS.

“PAS menggunakan Bersatu untuk menutup malu mereka di Nenggiri. Yang menunggang Bersatu ialah PAS,” katanya.