Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga dakwa terlalu sibuk, tak sempat daftar Budi Madani - Fuziah

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Terlalu sibuk antara alasan diberikan peniaga yang masih belum mendaftar Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak Julai lalu.

Selain alasan itu, segelintir peniaga turut memberi alasan kesukaran untuk mendaftar secara dalam talian menjadi punca mereka tidak memohon SKDS 2.0.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh ketika mengadakan sesi libat urus bersama peniaga dan pengunjung pasar tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) dekat Kuantan, hari ini.

"Jadi, hari ini kami turun padang untuk bersama peniaga dan pengunjung yang belum lagi memohon Budi Madani.

"Selain membuka kaunter bagi memudahkan proses pendaftaran, lima wakil dari stesen minyak yang mengeluarkan 'fleet card' juga turut bersama kita.

"Jadi, segala masalah dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan peniaga boleh dikemukakan kepada kami secara terus," katanya.

Mengulas mengenai status pendaftaran terkini direkodkan KPDN berkaitan permohonan SKDS 2.0 pula, Fuziah memberitahu, terdapat kira-kira 410,000 kenderaan yang layak menerima subsidi dalam rekod kementeriannya.

Namun katanya, sehingga pagi tadi, hanya 259,141 sahaja yang sudah mendaftar.

"Jumlah ini masih sangat tidak memuaskan hati saya dan KPDN sendiri, jadi kami sangat berharap lebih ramai tampil mendaftar kerana ia akan membantu dalam menangani kos yang mereka tanggung.

"Kalau tak daftar, tak dapat 'fleet card' jadi mereka kena bayar harga diesel tanpa subsidi di pam minyak, sekaligus akan meningkatkan kos operasi," katanya lagi.

Ditanya mengenai peniaga yang menggunakan kenderaan didaftarkan atas nama orang lain, Fuziah menjelaskan peniaga terbabit masih boleh menikmati SKDS 2.0 dengan syarat penama asal kenderaan itu membuat permohonan.

"Penama pada geran kenderaan itu kena memohon bagi pihak peniaga, tidak ada masalah dan mereka juga boleh dapat 'fleet card' dan SKDS 2.0," jelasnya.