Skip to main
Logo Malaysiakini

MP soal PAS: Kenapa T'ganu haramkan penyanyi wanita di tokong

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Seorang lagi ahli parlimen DAP membidas larangan kerajaan Terengganu terhadap penyanyi wanita membuat persembahan pentas di negeri itu.

Ini selepas laporan mendakwa Majlis Perbandaran Kuala Terengganu telah mengarahkan Tokong Guan Di menghentikan persembahan penyanyi wanita pada suatu majlis yang diadakan antara 29 Julai dan 2 Ogos.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengkritik pengharaman itu, dengan menegaskan ia secara sistematik menafikan hak wanita, daripada semua kaum dan agama, di negeri pimpinan PAS itu.

“Larangan ini nampaknya menghalang wanita, termasuk mereka yang bukan Islam, daripada menyertai aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Penyanyi wanita dilarang

“Ia juga nampaknya menafikan hak wanita untuk bekerja sebagai penyanyi dalam program bukan Islam,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, China Press mendakwa tokong itu menerima arahan bertulis daripada kerajaan tempatan yang melarang penyanyi wanita membuat persembahan pentas.

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu didakwa telah menambah peruntukan baru dalam permitnya untuk persembahan hiburan bagi mengharamkan penyanyi wanita.

Semalam, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mengkritik arahan baru itu yang turut mencakupi penghibur bukan Islam.

“Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan kerajaan Terengganu pimpinan PAS memperkenalkan beberapa siri dasar dan undang-undang yang dipengaruhi pegangan agama, termasuk menguatkuasakan pengasingan lelaki dan wanita di stadium.

“Bagaimanapun, peraturan sebegitu yang berlandaskan Islam tidak sepatutnya dikuatkuasakan ke atas masyarakat bukan Islam, terutamanya apabila melibatkan perayaan agama Tao dan Buddha,” kata ahli parlimen Seputeh itu.

Lim menegaskan menghalang penyertaan wanita dalam aktiviti sedemikian mungkin mempunyai kesan buruk kepada ekonomi, terutamanya di negeri yang lebih miskin.

“PAS juga telah berjanji tidak akan campur tangan dalam hal berkaitan kepercayaan dan budaya orang bukan Islam.

“Adakah PAS mendiskriminasi wanita dalam sektor persembahan kebudayaan dan kesenian?

“Adalah penting bagi PAS untuk memberikan justifikasi terperinci bagi dasar ini, menangani kesan sosial dan ekonomi serta asas agamanya. Rakyat Malaysia berhak mengetahuinya,” kata ahli parlimen Kepong itu.

[Baca berita asal]