Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie tak ambil pusing isu nasional, fokus raih sokongan pengundi

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani enggan ambil pusing berhubung isu nasional yang dimainkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri ketika ini.

Sebaliknya Azmawi yang lebih dikenali sebagai Awie berkata dia hanya ingin memberi tumpuan untuk bertemu seramai mungkin pengundi bagi meraih sokongan.

Katanya, isu nasional sentiasa dimainkan oleh pihak tertentu bila tiba masanya musim pilihan raya.

"Saya melihat isu ini setiap PRU, PRK atau PRN sentiasa diketengahkan oleh semua pihak sama ada semasa kita dalam kerajaan atau pembangkang.

"Cumanya hari ini kita perlu pandai. Bagi saya...saya meletakkan diri saya untuk menjadi wakil rakyat di sini dan untuk PRK ini ia tidak menjejaskan sebuah kerajaan negeri yang ada di Kelantan dan sebuah kerajaan Malaysia di pusat. Itu sahaja.

"Siapa yang menjadi kerajaan bagi saya semestinya harga (barangan) tidak akan turun bermula dari 2018, kerajaan BN jatuh...

"Selepas itu PH 1.0, PN dan hari ini kerajaan perpaduan BN-PH. Boleh tanya kepada semua adakah harga barang turun," katanya kepada media ketika berkempen di Bertam Lama, Gua Musang, hari ini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.

BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Mohd Azmawi untuk merampas semula kerusi DUN itu.

Sementara itu, PN yang akan menggunakan logo PAS diwakili calon daripada Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail dalam misi mempertahankan kerusi tersebut.

Sementara itu, ditanya apakah dia memiliki kelebihan selaku calon kerajaan perpaduan bertanding dalam PRK DUN Nenggiri.

"Masing-masing ada kelebihan, saya ada kelebihan dan Ustaz Wadi (Mohd Rizwadi Ismail) pun ada kelebihan.

"Cumanya tinggalnya kita nak mencari cara untuk menawan hati penggundi, masing-masing ada kelebihan. Kalau saya ada jentera di dekat pusat.

"Ustaz Wadi ada kelebihan di peringkat negeri. Semuanya ada jentera," katanya lagi.