Skip to main
Logo Malaysiakini

Hujan badai: Puluhan hilang di utara India

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

GLOBAL | Pasukan penyelamat di negeri Himachal Pradesh, utara India meneruskan pencarian pada Ahad untuk mengesan puluhan orang yang hilang selepas hujan badai melanda kawasan itu.

Dua lagi mayat ditemukan di daerah Mandi menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 11 manakala 40 orang lagi masih tidak dapat dikesan dalam banjir kilat.

Beberapa siri hujan badai berlaku pada malam Rabu di wilayah Kullu, Mandi dan Shimla di negeri berbukit bukau itu.

Pasukan penyelamat menggunakan anjing penghidu dan dron untuk cuba mengesan orang yang hilang.

Sementara itu, 13 kanak-kanak terbunuh dalam dua runtuhan tembok di Madhya Pradesh, India tengah pada Ahad ketika hujan monsun terus menyebabkan huru-hara di beberapa bahagian di India.

Sembilan kanak-kanak terbunuh dan empat cedera di daerah Sagar, kira-kira 170km dari ibu negeri Bhopal, apabila tembok sebuah rumah bersebelahan dengan kuil runtuh dan menimpa mereka semasa acara keagamaan, lapor media tempatan.

Di daerah Rewa, kira-kira 540km dari Bhopal, empat pelajar sekolah yang pulang dari sekolah dan seorang wanita terbunuh selepas tembok runtuh menghempap mereka.

Di Pune, Maharashtra, 150km dari Mumbai, pentadbiran tempatan meminta bantuan tentera dalam usaha bantuan banjir selepas pelepasan lebihan air dari tiga empangan di daerah itu.

- Bernama