Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga emas rugi RM6,000 rantai emas dibawa lari

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 selepas rantai leher dipakainya lesap, dipercayai dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali ketika mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan di Alor Setar, Kedah semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata wanita berusia 60 tahun itu telah dihampiri suspek pada kira-kira 8 pagi yang menawarkan rawatan tradisional, namun mangsa menolak pelawaan tersebut.

"Setelah selesai berurusan di klinik tersebut, mangsa mendapati rantai leher emas yang dipakai telah tiada dan mengesyaki telah dibawa lari oleh suspek.

"Ini kerana sebelum itu suspek dikatakan menegur rantai leher mangsa kelihatan longgar, dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa seolah mengetatkannya. Akibat kejadian ini, pengadu mengalami kerugian anggaran RM6,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada kira-kira 12.20 tengah hari semalam di Balai Polis Alor Setar.

Siti Nor Salawati berkata polis kini sedang giat mengesan suspek, seorang lelaki berbangsa Cina dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter dan berusia sekitar 60-an.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek, boleh tampil memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7747222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- Bernama