Skip to main
Logo Malaysiakini

Keperluan untuk DAP berkempen di Nenggiri agak rendah - Ahmad Maslan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Keperluan untuk DAP turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri adalah rendah memandangkan kawasan itu majoriti pengundi Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata begitu juga kempen MCA tidak begitu diperlukan meskipun parti merupakan komponen BN.

"Seingat saya hanya ada 35 orang (pengundi) Cina di tempat ini, kalau kita berkempen ada segmen Umno begini, PKR begini, DAP begini. DAP (bertanding) kawasan Cina dan Cina tak berapa ada sini.

"Bukan kami melarang tapi keperluan itu jadi keutamaan tahap rendahlah (untuk DAP turun berkempen), logik politik begitu," katanya ketika ditemui di Bertam Lama, Gua Musang, hari ini.

Bagaimanapun kata Ahmad, dia tidak mempunyai halangan jika DAP mahupun MCA turun berkempen di Nenggiri.

"Kalau mereka nak datang silakan, tapi saya nak sebut itu sahaja, bilangan yang ada kepada rakan komponen bukan satu kemestian untuk datang bantu calon BN di Nenggiri," katanya lagi.

Polemik mengenai DAP tercetus apabila media melaporkan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata tiada keperluan untuk DAP turun berkempen di Nenggiri.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh dilapor menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikan dan menjelaskan sebagai sebuah negara demokrasi siapa saja tidak dihalang untuk turun berkempen.

Sebelum ini, pemimpin DAP menunggu arahan BN untuk turun berkempen di Nenggiri jika diperlukan.

Sementara itu Ahmad juga diminta mengulas mengenai kenyataan Adun Rembia, Muhammad Jailani bahawa Umno ingin menjadikan dia bankrap.

Ahmad berkata, Muhammad Jailani mengetahui implikasi mengenai perkara itu ketika dia menandatangani perjanjian untuk bertanding dalam PRN lalu.

Malah, katanya Umno juga mempunyai video rakaman ketika dia ingin menandatangani perjanjian berkenaan.

"Tandatangan bermula pada PRN Melaka, adun-adun dan ahli Parlimen nak bertanding kita tandatangan. Pada waktu itu saya setiausaha agung, saya tahu apa kontrak yang ditandatangani.

"Kami tak mahu apa yang berlaku apabila 16 ahli Parlimen BN melompat satu (kerusi) ke Warisan dan 15 ke Bersatu.

“Selepas PRU14 ketika susah mereka tinggalkan parti, oleh itu kami sediakan pakar perundangan," katanya lagi.