Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasrat Umno tanding Kota Raja: PKR, Amanah S'gor serah pada pucuk pimpinan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PKR dan Amanah Selangor menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti gabungan itu bagi mempertimbangkan hasrat Umno Selangor untuk diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi di kawasan DUN Kota Raja pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata ini kerana perkara itu perlu diteliti oleh kepimpinan di peringkat Umno negeri dan PH negeri.

“Tentang kerusi yang diminta di kawasan Sungai Kandis atau di Parlimen Kota Raja itu, saya rasa perkara ini perlu diteliti oleh setiap pimpinan di peringkat Umno negeri dan PH negeri kerana ia berhubung dengan kerusi yang akan ditandingkan.

“Tapi kalau tanya saya, saya kata ini bergantung kepada keputusan daripada kedua-dua pemimpin-pemimpin parti sebab kita di bawah kerajaan yang sama,” katanya kepada Malaysiakini.

Senada dengan Halimey ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Izham Hashim.

“Apa pun hasrat (Umno Selangor) ia perlu dibincangkan di peringkat (kepimpinan) PH-BN negeri Selangor,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, Halimey berkata secara dasarnya agak sukar untuk kepimpinan PH mempertimbangkan hasrat Umno Selangor itu.

“Kalau ikutkan memanglah pada dasarnya semua orang tak setuju tapi akhirnya akan akur dengan keputusan parti,” tambahnya.

Kelmarin, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam ucapannya di mesyuarat Umno Bahagian Kota Raja meminta supaya parti itu diberikan satu dari empat kerusi di Bahagian Kota Raja yang kini disandang oleh wakil PH dan PN.

Hasrat Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu mendapat sokongan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata cadangan yang diutarakan Tengku Zafrul itu sesuai dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pilihan raya negeri (PRN) Selangor sebelum ini menyaksikan BN hanya menang dua daripada 12 kerusi dipertandingkan.

Dua kerusi itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar diwakili Rizam Ismail dan Dusun Tua, Johan Abd Aziz.

Rizam menewaskan calon PN, Zaidi Selamat dengan majoriti 846 undi.

Sementara Johan pula menawan Dusun Tua dengan majoriti 3,014 undi menewaskan dua pencabar lain iaitu Azhar Hambali (PN) dan Al Hafiz Ikhwan (Muda).

Pengerusi BN Selangor, Megat Zulkarnain tewas kepada Muhammad Hilman Idham di kerusi Gombak Setia dengan majoriti 58 undi.

Sementara sembilan kerusi lain yang tewas ialah Sungai Panjang, Jeram, Batang Kali, Sungai Burong, Kuang, Semenyih, Selat Klang, Sijangkang dan Dengkil.

PRN Selangor menyaksikan PH-BN kekal membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 kerusi sementara PN dengan 22 kerusi.