Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Sabu mahu ahli Amanah henti lobi kerusi DUN Mahkota

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi bagi kerusi DUN Mahkota di Johor yang dikosongkan baru-baru ini.

Dia berkata Amanah sepatutnya memberi tumpuan terhadap kempen pilihan raya kecil Nenggiri yang ditandingi Umno untuk merebut semula kerusi itu daripada Bersatu.

"Saya menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota ini tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkan isu ini masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.

"Saya menyeru semua pihak dalam kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.

Katanya, Amanah komited mengukuhkan perpaduan antara anggota kerajaan campuran.

Kerusi DUN Mahkota kosong berikutan kematian penyandangnya wakil rakyat Umno, Sharifah Azizah Syed Zain, minggu lalu.

Pada pilihan raya negeri Johor 2022, calon Amanah Muhammad Taqiuddin Cheman gagal mempertahankan kerusi PH dalam pertandingan empat penjuru menentang Syarifah, PN dan Warisan.

Pun begitu, Amanah Kluang semalam mula melobi secara terbuka untuk kerusi Mahkota walaupun ditolak oleh sekutu PH DAP yang berhujah Umno harus bertanding di kerusi itu sebagai penyandang.