Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan AG semak semula tuduhan Adam Radlan pada 28 Ogos

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Peguam Negara (AG) akan memutuskan pada akhir bulan ini mengenai semakan semula kes jenayah terhadap timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadly Mohd Zamry hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Peguam Negara akan membuat keputusan itu selewat-lewatnya 28 Ogos.

Pada 4 Julai lalu, Adam Radlan menghantar surat representasi kepada Peguam Negara berhubung lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Di bawah undang-undang, surat representasi sama ada meminta pendakwa menarik balik pertuduhan jenayah atau membenarkan tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan yang lebih ringan.

“Kami masih belum mendapat keputusan muktamad mengenai representasi yang dihantar oleh pasukan pembelaan.

“Hari ini kami baru sahaja menerima pemberitahuan, Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad pada 28 Ogos.

"Saya memohon budi bicara mahkamah ini untuk menetapkan tarikh sebutan lain untuk representasi," kata Fadly kepada Hakim Suzana Hussin semasa sebutan kes pagi tadi.

Pendakwa raya juga memohon penangguhan perbicaraan yang dijadualkan esok bagi membolehkan Peguam Negara meneliti representasi Adam.

‘Suapan 3.5% ke 7% nilai projek’

Peguam tertuduh Rajan Navaratnam berkata pasukan pembelaan tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan perbicaraan.

Suzana kemudian mengosongkan perbicaraan esok dan menetapkan 4 Sept depan untuk pendakwa raya memaklumkan mahkamah jenayah berhubung keputusan Peguam Negara.

Pada 21 Feb tahun lepas Adam Radlan didakwa dengan satu pertuduhan meminta suapan wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat, yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.

Sementara itu pada 22 Feb 2023, Adam Radlan didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).

Pada 28 Feb tahun lepas, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

[Baca berita asal]