Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno mahu k'jaan Kelantan jawab luluskan 54 syarikat teroka hutan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Umno mempersoal tindakan kerajaan negeri Kelantan yang didakwa meluluskan 54 aktiviti penerokaan hutan baru seluas 33,000 ekar di Ulu Nenggiri, Gua Musang dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim berkata ini jelas bertentangan dengan keputusan kerajaan negeri Kelantan yang membeku sebarang kelulusan penerokaan hutan.

"Melalui kemasukan permohonan kelulusan EIA (Jabatan Alam Sekitar), kami berjaya mengesan tidak kurang daripada 54 kelulusan baru penerokaan hutan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong melibatkan kawasan Gua Musang yang kebanyakan dilakukan di kawasan Ulu Nenggiri.

Gambar hiasan.

"Keluasan yang terlibat adalah melebihi 33 ribu ekar kawasan hutan di Gua Musang dan seperti yang saya sebutkan tadi kebanyakan penerokaan ini melibatkan kawasan hutan Ulu Nenggiri, Mukim Bertam,” katanya pada sidang media di Gua Musang hari ini.

Sebagai perbandingan 33,000 ekar bersamaan keluasan tanah sekitar 24,956 padang bola.

Mohd Syahbuddin juga mendakwa kerajaan negeri turut memberikan konsesi pembukaan hutan itu kepada syarikat bukan bumiputera dan perniagaan alibaba.

"Disaat PAS Kelantan atau kerajaan negeri mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang telus dan adil, rakyat di bawah terutama di Nenggiri bergelut sekian lama untuk dapatkan geran milik tanah.

Gambar hiasan.

"Kerajaan PAS Kelantan dalam diam-diam telah memberikan pelbagai konsesi penerokaan hutan kepada banyak syarikat termasuk ia jatuh kepada syarikat bukan bumiputra melalui pelbagai kaedah seperti alibaba oleh pihak penerima pertama," katanya lagi.

Mohd Syahbudin berkata ia sebagai respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kerajaan Kelantan pajak hutan hanya khabar angin.

Pada 3 Ogos lalu, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan Kelantan memberikan pajakan tanah termasuk kawasan pembalakan kepada orang asing.

Jelasnya pihaknya mengambil serius dakwaan itu namun menyifatkannya sebagai khabar angin.

"Saya nak jelaskan bahawa kenyataan pajakan kepada pihak asing adalah tak betul melainkan mereka bawa data," kata Tuan Ibrahim.

Dalam pada itu Mohd Syahbudin juga mendakwa lebih malang lagi apabila kelulusan diberikan kepada syarikat bukan bumiputera yang tidak berasal dari Kelantan.

Katanya, pembalakan kawasan seluas kira-kira 33,000 ekar itu akan memberi kesan khususnya kepada masyarakat Orang Asli.

"Kerajaan PAS Kelantan untuk berterus terang dengan rakyat Nenggiri berapakah kelulusan sebenar yang telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk meneroka tanah hutan di Hulu Nenggiri?

"Apakah alasan sebenar yang membolehkan syarikat bukan bumiputera yang tak sampai setahun boleh dapatkan projek Ladang Hutan tersebut dikala rakyat biasa terpaksa naik turn pejabat tanah untuk dapatkan sebidang tanah untuk kediaman.

"Kepimpinan kerajaan negeri Kelantan boleh menjawab melalui ceramah-ceramah kepada rakyat mengenai persoalan ini, sudah 34 tahun rakyat di Nenggiri terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar terutamanya kaum Asli," katanya lagi.

Tambah Mohd Syahbudin kerajan negeri Kelantan menjadikan Gua Musang terutamanya Nenggiri seolah-olah mesin "ATM" untuk mengeluarkan duit kepada mereka.