Skip to main
Logo Malaysiakini

HRD Corp gagal batal saman dakwaan konspirasi 26 kursus latihan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) gagal membatalkan tuntutan mahkamah berhubung konspirasi yang didakwa melibatkan 26 program latihan.

Lantaran itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersedia untuk mendengar merit saman yang dituntut oleh dua penyedia latihan bertauliah.

Peguam kedua-dua firma itu Baljit Singh Sidhu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mahkamah sivil menolak permohonan HRD Corp baru-baru ini untuk membatalkan saman itu.

Kedua-dua plaintif - Egraduate Net Sdn Bhd dan Gangsa Abadi Sdn Bhd - mendakwa HRD Corp terlibat dalam konspirasi memindahkan 26 program latihan daripada syarikat berkenaan kepada firma lain, Smart Trends International Sdn Bhd.

Kedua-dua firma itu mendakwa ini mengakibatkan pihaknya mengalami kerugian kewangan.

Menurut salinan afidavit yang menyokong permohonan pembatalan itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD CORP Shahul Hameed Shaik Dawood menolak dakwaan badan berkenaan terbabit konspirasi seperti yang didakwa.

Dia berhujah tindakan sivil itu percubaan plaintif untuk mengetepikan tuntutan mahkamah yang gagal sebelum ini berhubung kes saman serupa lima tahun lalu.

Shahul mendakwa plaintif menyembunyikan keputusan tersebut daripada mahkamah sivil sekarang.

Tegasnya saman sekarang melanggar prinsip res judicata, yang menghalang pendengaran tuntutan saman serupa yang telah diputuskan oleh mahkamah.

"Saya ingin menyatakan bahawa penegasan-penegasan berkenaan PSMB adalah tidak benar, tidak bona fife, tanpa asas dan plaintif-plaintf tiada sebarang kausa tindakan munasabah," kata Shahul dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini.

Ketua Pegawai Eksekutif itu menegaskan bahawa HRD Corp telah pun membuat laporan kepada SPRM pada 2019 berhubung dakwaan penipuan oleh Smart Trends International.

Dia berkata HRD Corp sebelum ini telah menyaman syarikat tersebut pada 2020, tetapi menarik balik saman itu berikutan SPRM masih menjalankan siasatan.

‘Pegawai HRD Corp terbabit tukar program’

Ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001, HRD Corp ditugaskan untuk mempromosikan pembangunan tenaga kerja mahir melalui ekosistem latihan yang sistematik dan inklusif.

Sebelum ini HRD Corp dikenali sebagai Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Pada 22 Jun tahun lepas, Egraduate Net dan Gangsa Abadi memfailkan writ saman terhadap beberapa defendan, antaranya HRD Corp dan Smart Trends International.

Kedua-dua plaintif mendakwa pengarah mereka terjumpa dokumen yang didakwa menunjukkan pegawai HRD Corp antara pihak yang terlibat dalam pemindahan 26 program latihan.

Egraduate mendakwa tiga daripada program ini - Diploma Profesional dalam Perancangan Perancah, Reka Bentuk dan Fabrikasi untuk Industri Minyak dan Gas; Diploma Profesional dalam Pengurusan Industri Petroleum Teknologi Minyak & Gas; dan Diploma Profesional dalam Scaffolding - menyaksikan HRD Corp membayar RM26,410,759.22 kepada Smart Trends International untuk syarikat itu mengendalikan kursus antara 3 Jun 2016 dan 24 Jan 2018.

Dalam pernyataan pembelaannya, Smart Trends International menolak dakwaan konspirasi itu.

Syarikat itu diwakili oleh firma guaman Wong & Kiu.

Firma guaman Lewis & Co pula mewakili HRD Corp.

[Baca berita asal]