Skip to main
Logo Malaysiakini

Nancy lancar jabatan khusus isu kanak-kanak

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kerajaan telah mengambil langkah penting ke arah meningkatkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak dengan pelancaran rasmi Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada pelancaran rasmi JPKK, menteri Nancy Shukri berkata jabatan baru berkenaan sebenarnya ditubuhkan pada 1 Sept 2023 dan menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini.

Katanya, ini tindak balas langsung terhadap seruan perdana menteri dalam Belanjawan 2023 untuk menangani isu keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

"Makin banyak cabaran dia makan memerlukan pengkhususan dari segi penumpuan dari segi perkhidmatan itu sendiri. Bukan bermakna kita tidak menjalankan tugas itu. Sekarang ini ianya masih berjalan dengan baik.

"Cuma apabila ada pengkhususan ini, maka peranan dan tanggungjawab itu akan boleh kita pertingkatkan lagi. Kita adakan satu jabatan yang lebih khusus kepada perkhidmatan fokus kepada kanak kanak.

"Jadi kita dapat lihat sekarang ini kalau kita tengok sendiri kes kanak kanak semakin hari semakin mencabar,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Susulan itu, Nancy berkata jabatan berkenaan akan mempunyai pegawai penguatkuasanya sendiri yang ditugaskan untuk mengendalikan kes tertentu melibatkan kanak-kanak.

Dia berkata ini bagi menangani bebanan kes yang kini dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengakibatkan kes tertunggak.

"Authority so sedikit untuk penguatkuasa memang ada.

"Cuma sekarang ini memang dah tak mencukupi. Jadi sebab itu kita perlu ada juga (jabatan) ini supaya dia boleh khusus menangani kes kanak kanak.

"Sebab yang ada sekarang ini sebab kuasa kita menyeluruh menjalankan tugas di bawah JKM," katanya.

Nancy berkata antara hasrat di sebalik penubuhan jabatan khusus itu ialah memperluaskan sistem penyampaian perkhidmatan di peringkat komuniti dan institusi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk kanak-kanak serta menangani kebimbangan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak secara berkesan, khususnya penderaan dan pengabaian.

Pinda akta kanak-kanak, pusat asuhan

Memetik statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, menteri itu berkata bilangan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan telah meningkat secara mendadak pada 2023, dengan 8,041 kes dilaporkan berbanding 6,770 pada 2022 dan 6,144 pada 2021.

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga kata Nancy sedang menjalankan kajian semula dan pindaan menyeluruh Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308].

"Pasukan Petugas Khas (SPT) telah dibentuk untuk memastikan pindaan itu berkesan dan mempertimbangkan kepakaran serta pandangan pihak berkepentingan yang berkaitan," katanya.

Pada majlis pelancaran hari, Nancy menyaksikan pelantikan ahli SPT yang terlibat dalam merangka pindaan Akta Kanak-Kanak dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.

Pasukan ini terdiri daripada wakil daripada agensi kerajaan, ahli akademik, NGO dan pakar industri yang berpengalaman dalam bidang berkaitan kanak-kanak.

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu turut melahirkan keyakinan penubuhan dan pengukuhan JPKK akan meningkatkan perkhidmatan untuk kanak-kanak di negara ini.

[Baca berita asal]