Skip to main
Logo Malaysiakini

Gaji progresif: K'jaan pertimbang lanjutkan insentif buat majikan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kementerian Ekonomi sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan insentif yang diberikan kepada majikan yang mengambil bahagian dalam projek perintis dasar gaji progresif.

Menterinya Rafizi Ramli menjelaskan bahawa keputusan untuk memanjangkan insentif melebihi 12 bulan yang ditetapkan sebelum ini adalah berdasarkan data yang dikumpul semasa projek perintis, yang berlangsung dari Jun hingga Ogos.

“Projek perintis ini bertujuan untuk menilai cara sistem beroperasi dan mengumpul maklum balas. Kami mahu memastikan bahawa keluk pembelajaran dalam pendekatan pelaksanaan kami berkesan,” katanya.

Dia seterusnya mengulas bahawa projek perintis itu memberi tumpuan kepada pembinaan sistem yang mantap yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja.

“Kemudian kita mempunyai data, kita akan dapat menentukan apakah tempoh yang terbaik untuk bila kita laksanakan secara menyeluruh nanti. Adakah 24 bulan? Adakah 15 bulan? Adakah 20 bulan?

"Kita pun tak nak tawarkan terlalu lebih kerana saya rasa kos kepada pemerintah lebih tinggi. Jadi, saya rasa itulah sebabnya kita melalui proses ini," katanya kepada media selepas sesi town hall mengenai projek itu hari ini.

Rafizi sebelum ini menyatakan bahawa penyertaan dalam program itu adalah secara sukarela, tetapi majikan yang mengambil bahagian akan menerima insentif kewangan.

Pada mulanya, dia mencadangkan majikan menerima insentif tetap daripada kerajaan sehingga RM200 sebulan untuk pekerja peringkat permulaan dan sehingga RM300 sebulan untuk pekerja lain selama 12 bulan.

Dengan projek perintis pada bulan ketiga, Rafizi melahirkan rasa puas hati dengan kemajuannya dan menyebut bahawa pelaksanaan menyeluruh akan menyusul selepas projek perintis tamat.

“Sehingga kini, kami mempunyai kira-kira 1,108 syarikat yang menyatakan minat untuk menyertainya. Saya rasa ia satu kemajuan yang baik.

"Memandangkan kita boleh meyakinkan majikan bahawa ini akan memberi manfaat kepada mereka, saya harap kita akan melihat kadar pengambilan yang lebih tinggi," katanya.

Pada 10 Jan, Rafizi memberi jaminan bahawa dasar itu akan dilaksanakan secara bertimbang rasa, dengan mengambil kira keupayaan majikan dan keadaan ekonomi negara.

Semasa sidang parlimen pada Jun, Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad mendedahkan bahawa dasar itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada Oktober.

Pada November 2023, Rafizi mengumumkan kerajaan menerima pakai dasar gaji progresif, menyasarkan pekerja berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan dan melibatkan 1,000 syarikat, khususnya dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Syarikat yang mendaftar dalam program ini mesti menghantar pekerja yang layak ke kursus latihan dan peningkatan kemahiran, dan pekerja dijangka mencerminkan peningkatan produktiviti mereka dalam gaji yang lebih tinggi.