Najib: AGM Badan Peguam tak sah, semakan kurangkan hukuman terbatal
Bekas perdana menteri Najib Razak berhujah cabaran Badan Peguam Malaysia di mahkamah terhadap pengurangan hukumannya terbatal kerana mesyuarat agung tahunannya (AGM) tidak sah.
Peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee (gambar bawah) menegaskan Badan Peguam memutuskan untuk melancarkan semakan kehakiman semasa AGM ke-78 awal tahun ini, yang dihadiri kurang 500 orang.
Dalam afidavit yang disahkan semalam untuk membantah tindakan sivil Badan Peguam, Farhan mendakwa terdapat pelanggaran syarat minimum 500 hadirin AGM di bawah Seksyen 64(5) Akta Profesion Undang-undang 1976.
Peguam itu berhujah dalam keadaan sedemikian menjadi kewajipan Badan Peguam untuk menangguhkan AGM ke hari berikutnya bagi mencapai jumlah kehadiran yang diperlukan.
AGM diadakan pada 16 Mac lalu dan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur difailkan pada bulan berikutnya.
"Asas bantahan ini adalah bahawa pemohon tidak mempunyai locus untuk memulakan tindakan ini kerana Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang kononnya meluluskan usul untuk memfailkan tindakan di sini, adalah terbatal, ultra vires dan/atau pelanggaran kewajipan statutori seperti yang diperuntukkan dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976 (APUU) atas alasan MAT tersebut telah diadakan tanpa keperluan korum dalam kehadiran," kata Farhan pada afidavit yang dilihat Malaysiakini.
Badan Peguam memohon kebenaran mahkamah sivil untuk menjalankan semakan kehakiman yang menyasarkan titah diraja Lembaga Pengampunan bagi mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta.
Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara enam tahun dan dendanya dikurangkan kepada RM50 juta berhubung sabitan kes rasuah RM42 juta SRC International.
Ketika permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar sebahagiannya pada 2 Julai, bekas presiden Badan Peguam Zainur Zakaria berhujah ia bukan satu cabaran terhadap kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.
Peguam kepada badan itu berhujah semakan kehakiman berkenaan hanya menyasarkan nasihat Lembaga Pengampunan untuk pengurangan hukuman pada 29 Jan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid akan disambung semula pada 18 Sept.
Wakil dari Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pasukan undang-undang Najib bersedia untuk mengemukakan hujahan balas terhadap permohonan Badan Peguam itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai